Home Nasional MH17: Walau sudah 6 tahun, Malaysia komited dapat keadilan

MH17: Walau sudah 6 tahun, Malaysia komited dapat keadilan

MH17
Tinjauan di lokasi kejadian tragedi MH17 di Grovova, Ukraine pada 23 Julai 2014. Foto : NOOR ASREKUZAIREY SALIM

KUALA LUMPUR – Malaysia hari ini mengulangi komitmennya untuk kekal sebagai sebahagian daripada Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT) dalam proses keadilan pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014.

Ini bagi memastikan proses dapat dijalankan secara telus, berdasarkan undang-undang agar keadilan dapat ditegakkan.

Oleh itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Malaysia menyeru kepada semua negara untuk bekerjasama sepenuhnya terhadap siasatan yang dilakukan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) selaras dengan Resolusi UNSC 2166.

Penyiasatan dan perbicaraan untuk menuntut keadilan terhadap insiden ini tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja malah tidak boleh tunduk dengan desakan politik oleh mana-mana pihak atau negara.

”Hanya ketegasan undang-undang yang mampu mengadili perlakuan jahat oleh pihak yang tidak berperikemanusiaan ini dan mengembalikan kehormatan terhadap mangsa korban serta saudara-mara mereka,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia tetap tidak akan berputus asa dan terus komited untuk mencari pembelaan buat ahli keluarga dan orang tersayang.

”Malaysia masih kekal bersolidariti bersama saudara-mara kepada 298 mangsa termasuk anak kapal dalam usaha mendapatkan penyelesaian terbaik ketika perbicaraan di mahkamah,” ujar Ka Siong.

Pesawat MH17 terhempas berdekatan Torez di Donetsk Oblast, Ukraine, kira-kira 40 km (25 batu) dari sempadan dengan Rusia pada 17 Julai 2014, menyebabkan semua 283 penumpang dan 15 anak kapal dalam pesawat tersebut terbunuh.

Menurut laporan awal oleh pihak berkuasa Ukraine, pesawat ini telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu permukaan ke udara jenis BUK oleh puak pemisah bersenjata semasa berada pada ketinggian 10,000 meter (33,000 kaki).

Semasa kejadian, pesawat tersebut dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette