Home Nasional Lebih 60,000 pemeriksaan patuh SOP dijalankan

Lebih 60,000 pemeriksaan patuh SOP dijalankan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sejumlah 62,733 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah dijalankan semalam.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pemeriksaan Pasukan Khas Operasi Pematuhan yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia itu telah menahan 48 individu ingkar PKP.

“Daripada jumlah itu seramai 5 individu direman manakala 43 individu lagi dikenakan kompaun.

“Kesemua 48 individu ditahan kerana terlibat dalam aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebanyak 2,701 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,284 anggota telah membuat pemantauan di 3,939 pasar raya, 5,491 restoran serta 1,720 penjaja, 1,123 kilang, 3,579 bank dan 878 pejabat kerajaan. Juga 1,121 terminal pengangkutan darat, 229 terminal pengangkutan air serta 89 terminal pengangkutan udara telah dipantau oleh Task Force Operasi Pematuhan.

Dalam pada itu, seramai lima orang warganegara asing telah ditahan semalam atas kesalahan imigresen.

Menurut Ismail Sabri, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah membuat 66 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 40,151 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya lagi. – MalaysiaGazette