Home Nasional Letak mahkamah syariah bawah Undang-Undang Tubuh Negeri – MDN

Letak mahkamah syariah bawah Undang-Undang Tubuh Negeri – MDN

KUALA LUMPUR – Majlis Dakwah Negara (MDN) menyarankan agar penubuhan mahkamah syariah negeri diletakkan di dalam Undang-undang Tubuh Negeri masing-masing seperti mahkamah sivil.

Jelas Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, penubuhan mahkamah syariah melalui enakmen negeri akan mewujudkan ketidakseimbangan antara kedua-dua mahkamah.

“Buat masa ini, semua negeri selain Terengganu menubuhkan mahkamah syariah melalui enakmen negeri sahaja. Hal ini akan menyebabkan perbandingan medium penubuhan yang tidak seimbang antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mahmood terdahulu merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah atas persidangan buat julung kalinya melibatkan Mahkamah Utama Syariah (MUS) di negeri itu ini.

MDN dalam masa sama juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana Perak merupakan negeri pertama mempunyai empat hierarki mahkamah berbanding tiga sebelum ini.

“Peningkatan hierarki mahkamah ini memberi lebih keadilan kepada pihak-pihak yang berlitigasi di mahkamah kerana mempunyai dua peluang untuk merayu berbanding sebelum ini satu sahaja jika kes bermula di Mahkamah Tinggi Syariah.

“Dua peluang merayu ini adalah lebih adil kerana kedua belah pihak akan mempunyai peluang untuk merayu ke mahkamah yang lebih tinggi sekiranya mereka tidak menang di mahkamah bawahan,” tambahnya.

Justeru beliau berharap agar negeri lain juga akan mengambil inisiatif yang sama untuk meningkatkan bilangan hierarki mahkamah sehingga sama seperti mahkamah sivil iaitu lima peringkat mahkamah.

“Dengan cara itu mahkamah syariah tidak lagi akan dipandang rendah oleh mana-mana mahkamah kerana mempunyai peringkat yang sama dengan mahkamah sivil,” ujarnya.

Perak muncul sebagai negeri pertama mewujudkan Mahkamah Utama Syariah (MUS) yang memberi peluang kedua kepada pihak bertikai untuk mengemukakan rayuan.-MalaysiaGazette