Home Nasional ‘Kami hantar makanan untuk rakyat lapar, bukan benda haram!’

‘Kami hantar makanan untuk rakyat lapar, bukan benda haram!’

Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), A'zlan Abu Bakar yang mewakili penghantar makanan atas talian Grab Food dan Food Panda selepas menghantar memorandum kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan Murugan di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 17 JULAI 2020

PUTRAJAYA – Ratusan penghantar makanan e-hailing Grab dan Food Panda berkumpul secara aman di pintu masuk utama Kementerian Sumber Manusia di Parcel D di sini petang tadi.

Tujuan mereka bagi menghantar memorandum kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Saravanan menemui mereka dan menerima serahan memorandum daripada Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), Azlan Abu Bakar.

Wakil penghantar Food Panda, Abdul Hakim Abdul Rani, 39, berkata, dalam memorandum itu, pihaknya mempersoalkan caruman Pekerja Keselamatan Sosial (Perkeso) yang digalakkan kerajaan tetapi tidak semua daripada mereka menerima manfaat.

“Caruman Perkeso tak semua dapat, hanya separuh sahaja yang menikmati manfaat itu. Kita harapkan Perkeso selaraskan pemberian itu menerusi majikan supaya semua rider makanan e-hailing menerima limpahannya.

“Setakat ini, belum diwajibkan lagi caruman itu untuk semua rider. Jika syarikat atau majikan penghantar makanan nak carum, kerajaan perlu memastikan ia dicarum untuk semua rider tanpa keciciran,” ujarnya.

Manakala wakil Grab Food pula, Khairi Hashim, 41, berkata, dalam pelbagai pekerjaan yang ada di negara ini, pekerjaan mereka sebagai rider makanan e-hailing pelik kerana semakin lama gaji mereka mengecil diberi oleh majikan tanpa alasan munasabah.

“Saya mahu satu akta khusus untuk melindungi kami perlu dipertimbangkan dan digubal oleh kerajaan prihatin bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pandang muka kami..kami hantar makanan untuk rakyat yang kelaparan bukan hantar barang haram,” tegasnya.

Terdahulu, Azlan selepas menyerahkan memorandum kepada Saravanan menjelaskan, empat perkara asas dan penting telah disenaraikan oleh TUNTUT mewakili ratusan ribu penghantar makanan e-hailing di negara ini demi menuntut keadilan sewajarnya dari kerajaan.

Katanya, setiap bulan beribu panggilan dari rider makanan e-hailing diterima oleh TUNTUT membabitkan rungutan dan kekecewaan mereka daripada segi upah dan kebajikan yang gagal dilindungi majikan.

“Dua minggu lepas, kami ambil pendekatan berjumpa setiap wakil penghantar makanan e-hailing secara berperingkat untuk mengambil dan menyenaraikan permasalahan mereka sebelum detik bersejarah tercipta apabila ia berjaya dibawa ke perhatian dan tindakan lanjut menteri bertanggungjawab.

“Dalam memorandum itu, empat perkara telah ditekankan untuk tindakan segera menteri. Sejak zaman Pakatan Harapan kami sudah berjumpa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (mantan Menteri Belia dan Sukan) tapi tak dapat titik penyelesaian yang diharapkan oleh rider.. hanya tinggal janji kosong sahaja.

“Maka, kami hari hari ini dan sampaikan tuntutan rider makanan dengan harapan satu penyelesaian muktamad dapat diambil untuk warga ini sekiranya kerajaan Tan Sri Muhyiddin benar membela nasib semua lapisan masyarakat termasuk anak muda ini,’ katanya lagi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan Murugan (dua kiri) menerima memorandum daripada Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), A’zlan Abu Bakar (tengah) yang mewakili penghantar makanan atas talian Grab Food dan Food Panda di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 17 JULAI 2020

Menurut Azlan, keempat-empat tuntutan asas yang ditekankan untuk penyelesaian segera adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) kerja yang digunapakai oleh majikan untuk setiap penghantar e-hailing apabila didakwa ia sentiasa berubah dan perlu ada syarat kenaikan gaji untuk setiap penghantar makanan ini.

Justeru katanya,walaupun hebahan di luar mendakwa setiap penghantar makanan dibayar upah RM12 satu jam namun ia bukan satu jaminan.

Kadangkala, katanya, bayaran diterima semakin mengecil sehingga pernah hanya mencecah RM4 sahaja.

Malah ujarnya, kebajikan dari segi keselamatan perjalanan setiap rider berkenaan juga menjadi kerisauan kepada golongan rider kerana tidak dijamin dan sentiasa terdedah dengan risiko kemalangan.

“Bayangkan majikan meletakkan syarat ketetapan masa penghantaran yang begitu singkat sebagai mutu perkhidmatan untuk meraih lebih ramai pelanggan namun rider terpaksa mengejar masa sehingga melanggar undang-undang lampu isyarat merah dan ada juga pernah terlibat kemalangan maut.

“Biarlah SOP kerja yang dijadualkan majikan diselaraskan demi menjamin keselamatan dan kebajikan setiap rider mereka manakala perlindungan Perkeso yang adil untuk setiap seorang rider perlu dititikberatkan majikan dengan desakan oleh kerajaan.

“Satu lagi yang menjadi masalah rider adalah lambakan penghantar makanan sehingga berlaku perebutan sesama golongan itu yang mana itu satu persekitaran tidak sihat.

“TUNTUT ingin tahu adakah wujud desakan kerajaan sehingga majikan ubah SOP sehingga paksa rider macam dulu bayar upah RM12 satu jam kini RM4 ringgit sahaja sehingga tercetus soal lambakan rider…sebab apa jika tiada desakan kerajaan maka majikan janganlah turunkan upah dan aniaya periuk nasi penghantar makanan ini.

“Mereka tiada pilihan lain dan terpaksa bergentung sepenuhnya periuk nasi menerusi pendapatan hantar makanan kerana tidak ada pilihan kerjaya lain. Kami harap dan mahu lihat kebijaksanaan menteri membantu membela nasib rider e-hailing makanan ini,’ tegasnya. – MalaysiaGazette