Home Politik Jawatan Timbalan Presiden Bersatu satu amanah – MB Perak

Jawatan Timbalan Presiden Bersatu satu amanah – MB Perak

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. foto FAREEZ FADZIL, 10 OKTOBER 2019

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersedia memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang disifatkannya sebagai amanah besar untuk memperkukuhkan sokongan dan kerjasama dalam parti.

Ahmad Faizal, yang juga Pengerusi Bersatu Perak, berkata jawatan tersebut bukan satu perkara yang perlu dibanggakan tetapi penanda aras baginya untuk menggalas amanah itu dalam menentukan hala tuju parti termasuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Saya cuma perlu memberi komitmen untuk menjalankan amanah ini dengan sebaik yang boleh. Saya juga bertekad memperkuatkan parti, meramaikan keahlian dan memberi kekuatan kepada presiden parti,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi mendiang M. Yougann, Ketua Pemuda Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Perak, di kediaman mendiang, di Taman Tambun di sini, hari ini.

Menerusi semakan di laman sesawang rasmi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu semalam, bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, masing-masing menyaksikan calon tunggal iaitu penyandangnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga perdana menteri, dan Ahmad Faizal .

Pengerusi JPP Tan Sri Syed Hamid Albar ketika dihubungi Bernama semalam berkata pengumuman secara rasmi mengenai keputusan pemilihan itu akan dibuat selepas selesai kesemua mesyuarat Bahagian Bersatu yang dijangka pada Ogos ini.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata kerjasama antara pimpinan dan akar umbi parti di peringkat negeri berada ditahap terbaik selain kekal menyokong aspirasi yang dibawa Muhyiddin sebagai presiden parti.

“Di Perak cukup baik, majoriti ahli-ahli parti memberikan sokongan padu kepada presiden walaupun terdapat segelintir kecil yang mungkin ada perasaan lain yang sedikit bercanggah, namun sebenarnya ia masih boleh diperbaiki,” katanya.

Mengulas mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, beliau berkata sebarang keputusan membabitkan calon akan diputuskan dalam mesyuarat bersama pemimpin komponen Perikatan Nasional di peringkat pusat.

“Sesiapa sahaja yang kita putuskan, semua parti komponen dalam Perikatan Nasional perlu beri sokongan yang jitu,” katanya.- BERNAMA