Home Akhbar Cina Kadar penginapan hotel dijangka 25.41 peratus tahun ini

Kadar penginapan hotel dijangka 25.41 peratus tahun ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Industri perhotelan yang hanya boleh bergantung kepada pelancong domestik dijangka mengalami proses pemulihan yang sukar.

China Press melaporkan, industri itu dianggarkan hanya mencatatkan purata kadar penginapan 25.41 peratus pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia, Yap Lip Seng berkata, kajian mendapati kadar penginapan pada minggu pertama Julai hanyalah 21.5 peratus, petanda bahawa pelancong tempatan tidak dapat menyokong survival hotel.

Beliau menjelaskan, rentak pemulihan hotel adalah sangat perlahan dengan kadar penginapan dianggarkan hanya meningkat kepada sekitar 32 peratus pada Disember.

“Secara puratanya, kami menganggarkan kadar penginapan 25.41 peratus untuk tahun ini, dengan syarat bahawa sempadan negara dibuka secara berperingkat,” katanya kepada China Press.

Lip Seng juga menjangkakan pemulihan paling cepat hanya boleh kelihatan pada pertengahan tahun depan.

Walau bagaimanapun, tanda-tanda positif sudah dikesan selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri.

“Kumpulan pelanggan pertama yang kembali ke hotel dijangkakan adalah pelanggan perniagaan, diikuti pasangan kekasih dan seterusnya rombongan pelancong domestik yang kecil,” kata Lip Seng.

Ujarnya, walaupun 55 peratus keuntungan hotel bergantung kepada pasaran tempatan, tetapi perbelanjaan pelancong tempatan adalah terhad.

Tambahnya, pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kira-kira 50 peratus hotel telah tutup, tetapi banyak juga yang membuka semula dalam tempoh PKP Pemulihan.

“Ada juga yang memulih untuk terus tutup kerana kekurangan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, walaupun tidak mempunyai data mengenai jumlah hotel yang tutup, tetapi hotel di bandar utama di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Sabah berdepan masalah tiada pelanggan. – MalaysiaGazette