KUALA LUMPUR – Wajah baharu Pasar Raja Bot di Jalan Chow Kit akan disiap sepenuhnya pada tahun 2023, kata Tan Sri Annuar Musa.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, pasar yang sepatutnya siap pada tahun depan terpaksa ditangguh kerana pihak pemaju berdepan dengan pembinaan yang serentak dengan operasi harian yang berjalan biasa di situ.
Jelas beliau, pada tahun depan, pembinaan semula Pasar Raja Bot itu hanya akan dapt disiapkan sebahagiannya sahaja.
“Penangguhan ini bersebab apabila berdepan kesukaran untuk bergerak ketika kerana ketika pembinaan dilakukan, operasi pasar berjalan seperti biasa.
“Jadi pemaju kena menjadualkan semula kerja-kerja pembinaan dan jika perlu, boleh dilakukan pada waktu malam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program turun padang di Pasar Raja Bot di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, setakat ini beliau berpuas hati terhadap hasil ‘turun padang’ yang dilaksanakan bagi melihat sendiri operasi pasar basah utama sekitar ibu kota.
Jelas beliau, antara pasar terbabit adalah di Pasar Raja Bot, Pasar Datuk Keramat dan Jalan Petaling.
“Saya sudah dua kali ke Pasar Raja Bot untuk memastikan operasi bukan dijalankan oleh warga asing.
“Saya turun sendiri melihat dan saya berpuas hati terhadap kepatuhan di ketiga-tiga (Pasar Raja Bot, Pasar Datuk Keramat dan Petaling Street) ini dan adalah mustahak pemegang lesen dan penjaja kecil terdiri daripada kalangan warga negara dan rakyat tempatan.
“Saya harap usaha ini dapat terus dikekalkan dan bukan hanya ‘hangat-hangat tahi ayam.’
“Warga tempatan perlu mengambil peluang yang terbuka untuk berniaga kerana saya dapati warga asing mampu mengaut keuntungan berganda berniaga di pasar-pasar ini dan saya percaya peniaga kita juga mampu,” katanya.
Annuar berkata, diharap persatuan peniaga dan penjaja yang terdapat di pasar ini akan memantau serta memastikan tiada warga asing yang mengambil kesempatan dan supaya peniaga tempatan tidak terlalu bergantung dengan golongan itu.
“Bukan kita tak nak langsung warga asing tetapi biarlah mereka yang diambil bekerja itu mengikut jenis permit pekerjaan yang mereka mohon.
“Mana-mana gerai yang kita dapati tidak dibuka dalam tempoh yang lama, DBKL akan tarik semula lesen dan beri kepada peniaga lain,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya akan menambah lebih banyak lot gerai di pasar borong Kuala Lumpur (KL), kira-kira 700 lot, bagi memberi peluang kepada semua warga KL menambah rezeki, terutama golongan belia. – MalaysiaGazette
Bgus , syabas krjaan..krana bg tumpuan kpd warga ngra tempatan..klu blh jgn sesekali bg kpd warga asing terutama indo , bngla, nepal dn lain2..utama rakyt tempatan..i dont like warga asing haram.