Home Nasional KDN akan pertimbang hukuman sebat ke atas nelayan asing

KDN akan pertimbang hukuman sebat ke atas nelayan asing

Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said. foto HAZROL ZAINAL, 20 NOVEMBER 2019.

KUALA TERENGGANU – Kementerian Dalam Negeri akan mempertimbang cadangan mengenakan hukuman sebat ke atas nelayan asing yang didapati menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, ia bagi membendung masalah pencerobohan nelayan asing ke negara ini yang berlarutan sejak sekian lama dan hukuman denda serta penjara sedia ada dilihat tidak mencukupi untuk memberi pengajaran sewajarnya.

“Contohnya Akta Perikanan 1985, kesalahan menceroboh serta menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran melibatkan denda tidak melebihi RM6 juta ke atas tekong atau pemilik kapal manakala denda RM600,000 ke atas setiap kru atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Hukuman itu sudah berat tetapi mereka lebih memilih untuk dipenjarakan. Cuba bayangkan mereka duduk dalam laut dipukul ombak berbulan-bulan tiba-tiba dapat mendarat dalam keadaan kita bagi makan dan tempat tinggal percuma, sebab itu mereka memilih untuk dipenjarakan.

“Bagaimanapun, cadangan ini (hukuman sebat) bergantung kepada perbincangan kita di peringkat kementerian nanti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Maritim Negeri di sini hari ini.

Terdahulu, Ismail melakukan tinjauan udara dengan menaiki pesawat Bombardier CI-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sekitar perairan negara bagi melihat sendiri kaedah penundaan bot nelayan asing ke Pengkalan Maritim Kuala Terengganu.

Turut serta Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som dan Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.

Ismail turut mencadangkan agar tindakan menyenarai hitam turut dikenakan ke atas rakyat tempatan yang didapati menyalahgunakan lesen bot mereka dengan memberi dan menyewakannya kepada warga asing untuk menangkap ikan di perairan negara.

“Ini hanyalah cadangan kita, yang mengeluarkan lesen ialah Jabatan Perikanan, jadi kita cadangkan kepada Jabatan Perikatan untuk menyenarai hitam mereka yang didapati bersalah. Kalau kita hanya batalkan permit atau lesen bot, mereka boleh memohon semula menggunakan bot baharu,” katanya.

Beliau turut menggesa pemilik atau pemegang lesen bot tempatan agar tidak menyewakannya kepada warga asing untuk menangkap ikan demi memelihara hasil pendapatan nelayan tempatan dan menjaga kedaulatan perairan negara.

Ismail juga berkata, pihaknya akan mempertimbang pemberian dua aset kepada APMM iaitu Kapal Misi Pelbagai Guna dan Pesawat Peninjau Maritim bagi memperkukuhkan lagi aktiviti penguatkuasaan serta pertahanan di perairan negara.

Beliau berkata, Kapal Misi Pelbagai Guna yang dilengkapi enam bot bersama dron dengan teknologi pesawat udara tanpa pemandu (UAV) amat diperlukan memandangkan dua kapal besar milik APMM kini telah berusia 25 tahun dan memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.

“Pesawat Peninjau Maritim pula boleh berada di udara sehingga tujuh hingga lapan jam berbanding pesawat yang kita ada sekarang ini (Bombardier) hanya bertahan lima atau enam jam sahaja. Jadi dengan adanya pesawat baharu itu, kita boleh lakukan pemantauan di perairan Sabah dan Sarawak dalam masa yang sama,” katanya.

Ismail juga berkata, sehingga kini, APMM telah berjaya menahan 26 bot nelayan Vietnam sejak Operasi Kuda Laut dilancarkan pada 24 Jun lepas, melibatkan rampasan bernilai RM40 juta.

Katanya, tangkapan itu melibatkan 21 kes di perairan pantai timur Terengganu, tiga di perairan Sabah dan dua di perairan Sarawak. – Bernama