KAJANG – Pembukaan cawangan kedua Elewsmart di TTDI Grove Kajang mendapat sambutan luar biasa pagi ini selepas pasaraya pertama milik Ebit Lew di Bangi semalam diserbu oleh orang ramai.
Orang ramai yang menanti-nantikan pembukaan pasar raya ini sanggup berbaris panjang untuk mengambil peluang berbelanja susulan promosi murah pelbagai barangan.
Menurut pelanggan pertama Noriati Ahmad, 58, dia dan adiknya tiba di depan pintu Elewsmart seawal 6.10 pagi selepas menunaikan solat Subuh bagi mengelak terpaksa menunggu lama dan berbaris panjang.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, wanita ini sangat gembira kerana tempat tinggalnya sudah ada pasaraya yang menawarkan barangan keperluan dengan harga berpatutan.
“Sejurus solat subuh terus datang di sini beratur dengan adik. 6.10 pagi sampai di sini. Seronok, kita dapat belanja barang dapur dengan murah, sangat berbaloi.Memang harga beza dengan harga kedai lain. Semoga ustaz berjaya, bertambah lagi rezeki beliau,” katanya.
Dari Sungai Ramai ke Kajang, Azlan Iswan, 38, buat kali kedua mengambil peluang berbelanja di Elewsmart selepas semalam berpeluang membeli barangan keperluan di cawangan pertama di Bangi.
Bagi Azlan, dengan adanya pasar raya yang menawarkan harga murah, sudah tentu golongan kurang berkemampuan akan rasa gembira.
Beliau mengucapkan tahniah kepada ustaz Ebit Lew kerana berjaya menyediakan platform membeli barangan keperluan kepada golongan kurang berkemampuan.
Dalam masa yang sama beliau berharap Elewsmart akan berkembang dan menambah cawangan di kawasan lain.
“Hari ini beli barang promosi. Kalau ada barang basah ayam dan ikan boleh tambah tapi tidak ada. Bukan selalu kita boleh dapat barang dengan harga murah,” kata beliau.
Pengunjung, Suzalina Anwar, 38, bercakap pada hari pembukaan cawangan kedua Pasaraya Elewsmart di Jalan TTDI Grove, kajang, Selangor.
Pembukaan Elewsmart di Kajang ini pada pandangan Suzalina Anwar, 38 adalah hari yang dinantikannya sejak pendakwah bebas itu mengumumkan hasrat untuk membuka pasar raya di situ.
Selain berpeluang untuk berbelanja barangan dengan harga lebih murah pada hari ini, beliau juga menunggu saat berharga untuk bertemu sendiri dengan ustaz Ebit yang melawat pasar raya keduanya hari ini.
“Memang dinanti-nantikan untuk datang pembukaan ini. Saya memang ikut perkembangan ustaz di media sosial.
”Di Bangi semalam memang sangat ramai, jadi hari ini seawal 7 pagi saya di sini beratur.
Saya memang nak tunggu ustaz mnak jumpa, bukan senang nak jumpa orang hebat ni,” katanya lagi sambil berkata akan sentiasa menyokong usaha pendakwah bebas berkenaan dalam membantu golongan kurang berkemampuan.
Tinjauan MalaysiaGazette di pasar raya itu sejak awal 8.30 pagi mendapati sambutan pembukaan pasar raya milik pendakwah terkenal ini cukup luar biasa.
Orang ramai mula beratur panjang dari hadapan hingga ke belakang pasar raya tersebut.
Pelbagai barangan dapur ditawarkan dengan harga murah, antaranya susu tin, susu formula bayi, kicap dan lain-lain. – MalaysiaGazette
Jom semua pakat sokong kedai2 dan produk2 Muslim!
Mereka mungkin membayar zakat perniagaan dan suka menyumbang kepada pembangunan ekonomi Islam!