Marhaba.. Pada keluaran lepas, Che Pah ada membawa awak semua mengimbas kembali kenangan Che Pah semasa hayat Walid.
Che Pah pasti awak semua juga turut melalui secebis kenangan yang hampir serupa dengan Che Pah.
Kata orang tua tua, ibu dan bapa adalah pemegang kunci syurga kita. Dek kerana mereka kita insyaallah merasa nikmatnya syurga.
Che Pah pernah mendengar sebuah tazkirah dari seorang Ustaz. Kata Ustaz tersebut, anak yang soleh adalah anak yang terlebih dahulu memenuhi keinginan ibu dan bapa mereka sebelum mereka meminta kita melakukannya.
Berbalik kepada kisah Che Pah dan Walid, Begitulah kehidupan yang Che Pah lalui sepanjang menjaga Walid.
Selepas tumor semakin merebak di saluran makan, Walid hanya bergantung kepada susu semata mata. Tiada lagi makanan keras yang sukar hadam
Che Pah dinasihati doktor untuk memberi Walid susu setiap tiga jam sekali sebanyak tujuh kali sehari.
Pada mulanya Che Pah terfikir bagaimana harus Che Pah komited dengan tanggungjawab ini sedangkan dalam masa yang sama Che Pah harus berkerja.
Di waktu itu Che Pah terlibat dalam perniagaan menjual makanan. Perniagaan ini mewajibkan Che Pah keluar rumah setiap hari untuk menghantar serta memeriksa makanan yang Che Pah letak di kedai dan pasaraya mini.
Namun Allah Maha Kaya.Allah mendengar rintihan hati Che Pah yang sewaktu itu sedang bergelut mencari jalan keluar .
Benar kata, Allah. Mereka yang mendahulukan ibu dan bapa mereka, maka Allah tidak tangguh tangguh memudahkan pekerjaan dan impian mereka.
Dengan tidak disangka, datang seorang hamba Allah “menyerah diri” untuk membantu Che Pah melunasi tugas memeriksa serta menghantar stok setiap hari ke kedai dan pasaraya.
Pelanggan yang lama dan baharu pula dengan rela hati datang mengambil sendiri stok di rumah. Malahan jumlah stok yang diambil lebih banyak dari biasa.
Ajaib sungguh Che Pah rasa. Kerja Allah ini tidak siapa boleh menduga. Dia sudah aturkan serba molek untuk kita.
Tugas kita sebagai hamba hanya perlu menyakini Dia. Lemparkan jauh jauh perasaan ragu. Sematkan pergantungan tidak terhingga kepada Dia.
Sesungguhnya selama ini Che Pah salah. Che Pah gunakan kuasa akal untuk mencari jawapan. Kebanyakan kita pula bergantung kepada manusia yang lain sebagai jalan keluar.
Kejadian ini mendidik Che Pah keajaiban sebuah doa. Mintalah. Panjatkan doa sentiasa. Allah sentiasa mendengar lantas memenuhi hajat kita selagi kita yakin kepada Dia.
Akhirnya menjaga Walid menjadi lebih mudah buat Che Pah. Dua hari sekali Che Pah bawa Walid menukar tiub buang air kecil di Poliklinik kerajaan di Putrajaya.
Dua minggu sekali pula menukar tiub makan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia atau HUKM di Cheras.
Sebulan sekali Che Pah bawa Walid untuk drip air dan multivitamin di hospital swasta Al Zahra di Bangi.
Itu belum lagi termasuk jika dengan tiba tiba kesihatan Walid terganggu. Boleh dikatakan setiap minggu Che Pah dan kakak ipar pasti bertandang pada tengah malam di bahagian Kecemasan Hospital Putrajaya.
Namun Alhamdulillah ramai yang dengan mudah menghulur tangan. Ada yang bantu parkirkan kereta. Tak kurang yang mengambilkan kerusi roda.
Begitulah hari hari yang Che Pah lalui semasa menjaga Walid. Satu rutin yang tidak boleh dijemu apatah lagi dilekakan
Kebiasaannya jam 5 pagi Che Pah sudah bangun. Che Pah tidur jam 12 malam selepas beri Walid susu yang terakhir.
Selesai solat Subuh, Che Pah akan pimpin Walid masuk ke bilik air. Che Pah tunggu Walid qadha hajat. Che Pah cuci dan bersihkan.
Selepas itu Che Pah mandikan Walid. Che Pah sabun seluruh tubuh tua Walid. Selesai mandi, Walid akan ambil wudhu kembali.
Che Pah akan lap kering seluruh badan Walid sebelum Che Pah sapu losyen bayi Johnson & Johnson.
Selepas sapu losyen, Che Pah letakkan bedak. Walid mahu bedak Cuticura. Bedak orang dulu dulu. Kemudian Che Pah pakaikan Walid lampin, baju putih cap Pagoda dan kain pelikat.
Selesai semua, Che Pah akan bubuh minyak attar pada tangan, tapak tangan serta badan Walid. Walid suka wangi. Walid mahu sentiasa bersih.
Selepas itu Che Pah dudukkan Walid. Che Pah ambil tangan Walid lantas Che Pah cium tangan dan tapak tangan Walid.
Che Pah cium kaki Walid sambil Che Pah mohon ampun atas segala kesalahan Che Pah selama menjaga Walid.
Pernah di satu pagi, sedang Che Pah menuangkan susu ke dalam tiub makan Walid, Walid tenung muka Che Pah.
Renungan Walid sangat dalam. Che Pah pelik. Tak lama kemudian Walid bersuara.
“Kesian Walid tengok kau. Kau habiskan masa menjaga Walid. Habis masa berniaga dan dengan kawan kawan semata mata untuk jaga Walid.
“Ketahuilah kau nak, Allah sudah sediakan satu tempat di syurga untuk kau. Tempat kau sudah ada. Tunggu masa untuk balik kepada Allah saja,” kata Walid dengan pandangan yang berkaca.
Air mata Che Pah deras menuruni pipi. Tak terhalang lagi. Tak tersangka kata kata ini terpacul dari mulut Walid.
Che Pah ceritakan bukan untuk berbangga sebaliknya Che Pah mahu jadikan pengalaman berharga ini sebagai panduan kepada awak semua.
Terutama kepada yang masih miliki ibu dan bapa. Berbaktilah kepada mereka.Belailah mereka sementara masih punya.
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu rinduan…
Bertitik tolak dari peristiwa ini, saban malam Che Pah memanjatkan doa kepada Ilahi. Che Pah mohon Allah berikan Che Pah peluang menguruskan Walid sehingga titik terakhir.
Che Pah mohon Allah berjanji dengan Che Pah yang diatas telapak tangan Che Pah ini kelak Walid kembali ke hadhratNya.
Hari hari yang berlalu, Che Pah tetap dengan rutin biasa. Setiap pagi dan petang Che Pah mandikan Walid. Tukar lampin empat kali sehari. Salin baju dan kain dua kali sehari.
Setiap petang selepas mandi, Che Pah akan tolak Walid dengan menggunakan kerusi roda bersiar siar di sekitar kawasan perumahan.
Waktu inilah biasanya Che Pah dengar celoteh Walid. Walid mula membuka lembaran silam. Satu persatu kenangan bersama sahabat baik iaitu Pak Majid dan saudara sepupu Walid seperti Ami Bakar, Ami Salim dan Ami Hassan, Walid putar semula.
Cerita yang sama setiap hari. Namun Che Pah leka mendengar. Kisah orang dulu dulu. Kisah talian persahabatan dan persaudaraan yang disulami rasa kasih dan sayang. Keakraban yang tiada tolok bandingan.
Itu sahaja masa yang Walid akan banyak bercakap. Biasanya jika di rumah, sama ada sedang berbaring atau duduk di sofa, Walid kurang suka diganggu.
Walid gunakan sepenuh masa untuk berzikir. Walid suka bersendirian. Biasanya jam 9 pagi, Walid akan pegang radio merah kesayangannya untuk mendengar kelas Bahasa, Arab di radio IKIM.
Kemudian pada masa tertentu, Walid buka tazkirah agama dalam saluran yang sama. Tugas Che Pah ialah membeli bateri.
Kadang kadang sampai kena marah dengan Walid semata mata kerana lambat belikan bateri.
Waktu itu kedua dua mata Walid sudah tidak nampak. Hanya nampak bayangan sahaja. Telinga sudah mula kurang pendengaran. Manakala mulut sudah tidak boleh diguna untuk makan.
Ini semua situasi yang Walid harus tempuh. Ini perjalanan takdir Walid. Allah sayangkan Walid. Allah mahu bersihkan Walid dari melihat serta mendengar yang tidak tentu.
Manakala tubuh jadi lebih bersih zahir dan batin kala sudah tidak mampu menikmati pelbagai jenis makanan selain susu.
Namun Walid terus sabar dan tabah melalui hari hari yang mendatang. Tidak pernah tertangkap telinga Che Pah keluh kesah Walid.
Walid terus fokus dalam berzikir. Walid tenggelam dalam memuji Allah Yang Satu. Walau apa jua keadaan, Walid terus bersyukur pada Allah kerana masih mampu menyebut serta memuji Dia.
Che Pah terkesima dengan kecekalan serta keta bahan Walid menghadapi saat paling getir ini. Che Pah hanya menjaga tetapi tidak merasa. Yang merasa bebannya ialah Walid.
Ikuti sambungan terakhir pada minggu depan. Kisah berpisahnya Che Pah dengan Walid. Terputus kasih di alam yang nyata.