MEKAH – Mejer Jeneral Zayed Al-Tawaian, komandan pihak berkuasa keselamatan haji memberi amaran hanya mereka yang memiliki permit haji sahaja dibenarkan untuk memasuki kawasan ibadah.
Denda sehingga SR10,000 (RM11,000) akan dikenakan kepada mereka yang memasuki Mina, Muzdalifah dan Arafat tanpa permit haji.
Larangan memasuki kawasan ibadah tanpa permit berkuatkuasa 19 Julai – 10 hari sebelum bermulanya musim haji yang bermula pada 29 Julai ini.
“Semua persiapan dan pengaturan keselamatan untuk haji tahun ini telah selesai dan hanya sebilangan kecil jemaah akan menunaikan haji ini, selari dengan langkah berjaga-jaga dan protokol pencegahan yang ketat susulan pandemi koronavirus,” katanya.
Menurutnya, semua langkah-langkah perlindungan keselamatan di tempat-tempat ibadah yang merangkumi pergerakan jemaah haji juga sudah dilaksanakan.
Mejar Jeneral Khaled Al-Juaid, Penolong Komandan Hal Ehwal Haji dan Umrah berkata, hukuman ke atas pelanggaran arahan untuk musim haji tahun ini adalah penjara dan denda.
“Denda akan dikenakan ke atas syarikat yang mengangkut jemaah tanpa izin haji dan hukumannya termasuk 15 hari penjara dan denda SR10,000.
”Denda akan digandakan jika pelanggaran berulang,” katanya.
Hanya 10,000 jemaah domestik yang dibenarkan menunaikan haji tahun ini berikutan wabak koronavirus yang menular di seluruh dunia.
Angka itu adalah kecil berbanding 2.5 juta jemaah asing dan domestik telah menunaikan haji tahun lalu.
Dari jumlah jemaah haji yang dibenarkan, 70% adalah warga asing yang tinggal di Arab Saudi sementara 30 peratus selebihnya adalah warga tempatan. – MalaysiaGazette