Home Sukan Maloney rancang aksi persahabatan nilai prestasi skuad B19

Maloney rancang aksi persahabatan nilai prestasi skuad B19

Jurulatih Skuad Bawah-19 Tahun Negara (B-19), Brad Maloney (kanan) sewaktu menjalani kem latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2020.

PETALING JAYA – Ketua Jurulatih Pasukan Harimau Muda Bawah 19 tahun, Brad Maloney merancang mengadakan sekurang-kurangnya dua sesi perlawanan persahabatan untuk anak buahnya sebelum sesi latihan fasa pertama berkenaan tamat 26 Julai ini.

Katanya, kedua-dua aksi persahabatan berkenaan penting untuk menilai prestasi semasa anak buahnya yang telah melalui sesi latihan selama 15 hari sebagai persiapan menghadapi kejohanan Piala Konfederasi Asia (AFC) Bawah 19 Tahun di Uzbekistan hujung tahun ini.

“Kita sememangnya merancang untuk dua aksi persahabatan sebelum sesi latihan fasa pertama ini berakhir 26 Julai ini.

“Maka minggu ini latihan kita akan berkisarkan dan tertumpu kepada aksi teknikal pemain pemain saya dan akan cuba menyiapkan pemain supaya mereka bersedia menghadapi aksi persahabatan itu,” katanya kepada pemberita sebelum sesi latihan dimulakan di Wisma FAM di Kelana Jaya petang tadi.

Jurulatih Skuad Bawah-19 Tahun Negara (B-19), Brad Maloney sewaktu menjalani kem latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2020.

Maloney juga mengesahkan empat pemain dari pasukan semasa iaitu penjaga gol Mohd Azlizan Mohd Azlan dan Mohammad Nazemizan Naslon dari Sabah serta Mohammad Zarif Syamil Mohammad Zaman dan Abdul Raziq Abdul Rahim dari Melaka telah digugurkan.

Dalam pada itu katanya, seorang lagi pemain diberi pelepasan iaitu Mohd Nasip Mohammad Zain dari Sabah kerana ibunya meninggal dunia dan kini 31 pemain masih berada dalam kem latihan.

Menurut beliau, pada mulanya jumlah pemain agak besar telah dipanggil dan dilibatkan dalam sesi latihan.

Pun begitu, katanya, selepas penilaian dan kajian tahap kecergasan terhadap kesemua pemain selama dua minggu lalu, pihaknya mendapati empat pemain ketinggalan di belakang.

“Kami memutuskan empat pemain berkenaan agak merosot tahap kecergasannya berbanding pemain lain maka kami menasihati mereka supaya pergi balik ke negeri masing-masing dan mengembalikan semula tahap kecergasan mereka.

“Ia tidak bermakna mereka tercicir terus tetapi mereka sentiasa dalam radar kami untuk masa depan, tapi bukan sekarang kerana sedikit ketinggalan dalam pasukan ini.

“Adalah normal untuk pemain profesional untuk menjaga badannya sama ada bersama skuad atau tidak,” katanya lagi.

Ditanya mengenai prestasi pemain dari Amerika Syarikat (AS), Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal yang beraksi di sebuah kelab liga terkemuka kini diserapkan dalam skuad B19 menjelang AFC, Maloney menganggap ia masih terlalu awal untuk memberi ulasan mengenainya.

Katanya, pasukannya sempat berlatih dengan pemain itu Selasa lalu selepas Wan Kuzri dikuarantin di rumah sebagai Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan Awam sejurus selepas mendarat dari AS.

“Mungkin dia datang dari luar negara tapi setakat ini aksinya memuaskan sepanjang latihan buat masa ini. Namun seperti saya katakan sebelum ini kelayakan pemain berdasarkan merit masing-masing dan Wan Kuzri khususnya boleh jadi aset kepada pasukan.

Aksi pemain Skuad Bawah-19 Tahun Negara (B-19) sewaktu menjalani kem latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2020.

“Bagaimanapun, tiada jaminan siapa yang akan terpilih pada sesi akhir pemilihan pasukan,” ujar beliau.

Meloney menambah, sesi latihan Jumaat dan Sabtu lalu terjejas akibat hujan lebat.

“Kita berlatih minggu ini dengannya dan berharap penglibatannya dalam aksi persahabatan nanti yang masih belum menerima pengesahan pasukan lawan.

“Pada 3 Ogos ini, kem latihan sesi kedua akan bermula untuk skuad B19 ini dan penilaian pemain akan diteruskan pada sesi tersebut nanti,” ujar beliau.

Katanya, kem latihan sesi kedua berkemungkinan akan melibatkan seramai 30 pemain namun jumlah itu akan dimuktamadkan selepas minggu ini.

Justeru ujar beliau, fasa terakhir sesi latihan akan bermula sekitar September ini yang pasti melibatkan semua skuad secara menyeluruh.

Status terkini pasukan berkenaan menyaksikan Maloney memanggil seorang pemain baharu dari pasukan Akedemi Mokhtar Dahari B-17 iaitu Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri, 17.

Pencapaian terakhir Malaysia ialah pada edisi 2004 di bah kendalian K Rajagopal selaku tuan rumah brjaya mara ke suku akhit sebelum tersingkir selepas tewas 3-0 kepada China.- MalaysiaGazette