KAJANG – Siapa sangka rumah yang didiami dengan tenang lebih 35 tahun lalu di Taman Hijau, Jalan Reko di sini menjadi mimpi ngeri kepada penduduk.
Pada Sabtu lalu, kawasan perumahan itu dilanda banjir kilat buat pertama kalinya.
Sudahlah pertama kali melalui detik cemas itu, rata-rata mangsa trauma bagi menghadapi bencana alam itu yang mengakibatkan kerosakan harta benda bernilai ribuan ringgit.
Bukan sahaja kelengkapan rumah seperti sofa, meja makan, almari serta peralatan elektrik bahkan kenderaan bernilai puluhan ribu ringgit juga gagal diselamatkan dalam bencana yang berlaku sepantas kilat itu.
Tinjauan MalaysiaGazette ke salah satu lokasi banjir kilat mendapati kebanyakan pemilik rumah yang terjejas hari ini sibuk membuang sejumlah besar perabot dan peralatan elektrik yang rosak selain mendapan tanah akibat banjir kilat itu.
Jalan raya yang menghubungkan Taman Hijau, Jalan Reko itu juga kelihatan dipenuhi dengan lumpur yang sudah kering, tidak kurang pula sampah-sarap yang dihanyutkan banjir kilat di sepanjang longkang di situ.
Pada masa sama, kelihatan juga para petugas pembersihan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sedang bertungkus-lumus mengangkut pelbagai jenis perabot yang rosak menggunakan jengkaut ke dalam lori sisa pepejal.
Meskipun kejadian banjir lumpur itu berlaku Sabtu lalu namun kesannya masih dapat dilihat di setiap unit rumah di situ selepas dua hari.
Salah seorang mangsa, Michael Roy, 57, tidak menjangka kejadian itu boleh berlaku kerana sejak 35 tahun lalu, bencana alam itu tidak pernah berlaku di kawasan perumahan itu.
“Air banjir ini naik mendadak ke paras pinggang, antara 10 hingga 15 minit. Itu pun saya tahu bila anjing saya menyalak.
“Bila saya jenguk ke luar rumah, paras air sudah tinggi. Air naik kira-kira 7.30 malam, masa itu semua ahli keluarga berada di bawah rumah, tidak menyangka boleh banjir.
“Saya hanya sempat selamatkan televisyen sahaja, bila turun balik semua peralatan elektrik sudah tenggelam.
“Emak saya orang pertama saya selamatkan naik ke tingkat atas. Banjir ini adalah banjir mengejut, bukan banjir biasa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, kediamannya hari ini.
Michael tidak menolak kemungkinan banjir kilat ini berlaku akibat limpahan Sungai Langat berdekatan perumahan itu selepas hujan turun, lewat petang Sabtu lalu.
“Punca daripada Sungai Langat. Kalau nak kata longkang tersumbat pun, kalau air naik hanya setinggi tiga inci sahaja.
“Bukan kerana Sungai Langat cetek sedangkan ia sudah dikorek baru-baru ini, mungkin disebabkan jumlah hujan yang turun luar biasa banyaknya,” katanya.
Sementara itu, menurut Lee Khim How, 66, banjir kilat yang besar itu sangat mengejutkan dia dan kakak iparnya yang mendiami kawasan lebih 30 tahun lalu.
Katanya, lebih mencemaskan apabila kakak iparnya yang berusia 77 tahun itu tidak boleh berjalan dan duduk bersama dua anaknya ialah golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Ketika itu dia berasa bagaikan ‘nyawa di hujung tanduk’ apabila sebaik sahaja bangkit dari tidur, dada hingga ke buku lalinya ditelenggami air lumpur.
“Rasa nak mati, nak bangun tak boleh, lagi pun sudah lima tahun kaki tak boleh berjalan, mujur adik ipar cepat datang bantu,” katanya.
Katanya, dia terpaksa panggil jiran tetangga untuk bantu mengangkat kakak iparnya yang uzur, sebelum menghantarnya ke sebuah hotel berdekatan.
“Dia tak boleh jalan, kemas rumah pun tak larat, kakak ipar sudah mahu pengsan. Masa kejadian saya pula tak boleh masuk kawasan sini sebab penuh kereta mahu keluar, bomba pula tak benarkan masuk sebab paras air sangat dalam,” katanya lagi.
Bagi Hartini Saimin, 32, pula dia trauma sejak kejadian banjir kilat yang pertama kali berlaku dalam hidupnya apatah lagi bimbang kejadian itu berulang lagi dalam masa terdekat.
“Masa hari kejadian, saya dan suami tak berani mahu tidur, kami terpaksa berjaga hingga ke lewat malam kira-kira 3 pagi bagi mempastikan hujan benar-benar sudah berhenti.
“Hanya jam 7.30 pagi (semalam) baru kami mula membersihkan rumah yang tenggelam dengan air lumpur. Banyak juga perabot yang rosak kena air banjir kami terpaksa buang saja,” katanya.
Justeru beliau berharap kerajaan Selangor dapat mengambil perhatian serius terhadap bencana alam ini yang telah menyebabkan banyak kerosakan dan kerugian harta benda.
“Saya minta kerajaan negeri segera cari jalan penyelesaian masalah kami ini, sebab kawasan ini tidak pernah dilanda banjir. Selepas ini kami kena bersiap sedia dan tahu apa yang perlu dilakukan jika banjir lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Di Kajang ni ke dahulu AJK sebuah surau/masjid membenarkan ahli DAP memberi ceramah politik didalam dewan solat utama?
CELAKA BETUL AJK AJK tersebut!!!
PBT MPK pandai kutip cukai taksiran pintu setiap tahun tapi penyelenggaraan longkang dan parit tersumbat di taman2 perumahan tak dijalankan. Tambahan lagi pendatang asing tanpa izin/orang pelarian yang begitu ramai di pekan Kajang. IWKonsortium pun satu lagi badan kutip wang haram dari setiap isirumah tapi tak buat kerja sekadar loji kumbahan najis bagi sedap mata memandang. Zuraida kamarudin sila bukak mata jangan asyik sibuk pasal kes Adib