KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengguna pakai Kerangka Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) sebagai panduan dalam menggubal strategi ke arah konsolidasi fiskal untuk jangka sederhana (3 hingga 5 tahun) selari dengan Rancangan Malaysia jangka panjang.
Selain itu, kerajaan juga dalam proses merangka Akta Kebertanggungjawaban Fiskal (FRA) untuk memastikan pengurusan fiskal dan hutang yang lebih baik dan telus.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, dengan itu kerajaan yakin defisit fiskal akan dapat diturunkan secara berperingkat dalam jangka masa sederhana.
Tengku Zafrul menjawab soalan Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan strategi kerajaan untuk mengembalikan defisit fiskal ke paras 3% dalam masa dua ke tiga tahun setelah mencapai 6.9% selepas memperkenalkan beberapa pakej rangsangan semasa pandemik Covid-19.
Beliau menjelaskan, pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi tidak akan membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka sederhana dan jangka panjang kerana ia adalah bersifat sekali beri (one-off).
Malah, ia adalah antara strategi kerajaan bagi mengurangkan defisit fiskal dalam jangka masa sederhana secara berperingkat seterusnya memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara kekal pada paras terkawal.
”Kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi bernilai RM295 bilion untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berdaya tahan.
”Tambah beliau, pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi ini hanya melibatkan suntikan langsung fiskal berjumlah RM45 bilion,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, defisit fiskal pada tahun 2020 dijangka meningkat sekitar 5.8% hingga 6.0% berbanding 3.2% daripada KDNK yang diunjurkan sebelum ini.
Unjuran ini setelah mengambil kira pengurangan hasil, unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang lebih rendah dan kejatuhan harga minyak mentah dunia serta pertambahan perbelanjaan bagi melaksanakan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi.
Menteri Kewangan itu menambah, kerajaan akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan kutipan hasil dan kecekapan perbelanjaan bagi mengukuhkan lagi kedudukan kewangan kerajaan.
”Kerajaan pernah menurunkan kadar defisit sebelum ini daripada 6.7% pada tahun 2009 selepas krisis ekonomi dunia dan mengurangkannya kepada 3.8% pada tahun 2013 dan kepada 3.4% pada hujung tahun 2019.
”Ini hasil disiplin fiskal Kerajaan dan juga institusi-institusi kewangan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette