KUALA LUMPUR – Kumpulan Dolla yang dikenali dengan imej mirip BLACKPINK mengumumkan menyertai pertandingan tarian semula, How You Like That Dance Cover yang berlangsung sejak 6 Julai bagi mencabar tahap kemampuan mereka dalam bidang tarian.
Pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah 10 juta won (RM35,000) tersebut merupakan sebuah cabaran tarian secara atas talian anjuran kumpulan K-pop terkenal tersebut.
“Sebagai penari yang memperjuangkan seni tari, pertandingan itu merupakan platform terbaik untuk mempamerkan bakat dan kreativiti tarian kami.
“Justeru, kami berharap video penyertaan kami akan terpilih sekali gus akan dapat perhatian daripada peminat muzik serta seni tarian di dalam dan luar negara,” kata Dolia dalam satu kenyataan.
Dolla yang dianggotai oleh Sabrina, Tabby, Syasya dan Angel memberitahu, sudah memadai sekiranya video tersebut dapat ditonton ramai kerana bukan mudah untuk mendapat perhatian umum terutama penganjur.
Mereka juga berharap peminat muzik tanah air akan menyokong usaha ini dengan menonton serta berkongsi video penyertaan tersebut di media sosial kerana ia sebagai inisiatif membawa nama negara ke persada dunia.
Sebelum ini, syarikat pengurusan YG Entertainment menerusi akaun Instagramnya mengumumkan setiap peserta perlu merakam video tarian mereka mengikut koreografi asal daripada klip video How You Like That sebelum dimuat naik di akaun YouTube dan media sosial masing-masing.
Setiap video penyertaan yang dimuat naik perlu disertakan dengan tanda pagar #BLACKPINK #블랙핑크 #HowYouLikeThat #HYLT_Dancecovercontest serta perlu mengisi borang secara online. Seramai tiga pemenang bakal dipilih dan akan diumumkan pada 28 Julai depan.
Dalam pada itu, Dolla juga bersyukur dengan sambutan yang diberikan para peminat terhadap klip video Dolla Make You Wanna yang telah mendapat lebih sejuta tontonan menerusi saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia sejak dilancarkan pada Mac lalu.
“Kami tidak menyangka video itu mendapat perhatian ramai termasuklah YouTuber dari luar negara, malah ada juga membuat video tarian semula (dance cover) dan ulasan yang positif berhubung bakat tarian kami.
“Jadi, semoga sokongan yang positif seperti ini akan berterusan, sekali gus membuatkan kami lebih bersemangat untuk menghasilkan produk yang lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya.
Dolla sebelum ini pernah dikritik ekoran imej dan gaya mereka yang dikatakan meniru bulat-bulat identiti BLACKPINK. – MalaysiaGazette