KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan perbicaraan dua kes saman fitnah, difailkan penceramah bebas Dr Zakir Naik terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P. Ramasamy, untuk berlangsung selama lima hari bermula 22 Mac tahun depan.
Dua saman itu difailkan secara berasingan pada Oktober dan Disember 2019, atas dakwaan Ramasamy mengeluarkan kenyataan fitnah membabitkan pendakwah bebas itu, selain mengaitkannya dengan isu LTTE.
Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril menetapkan tarikh 22 hingga 26 Mac 2021 itu, semasa pengurusan kes itu hari ini dengan dihadiri peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Meor Hafiz Salehan yang mewakili Zakir, manakala peguam Lee Mei Xian bertindak bagi pihak Ramasamy.
Hakim turut mengarahkan kedua-dua pihak, memfailkan penyataan saksi sebelum atau pada 1 Mac tahun depan, dan 13 Oktober ini ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya untuk pihak-pihak terlibat memaklumkan, perkembangan mengenai dokumen yang telah disediakan untuk perbicaraan.
Ketika ditemui pemberita selepas prosiding Akberdin berkata, sepatutnya satu daripada kes saman itu didengar di mahkamah lain, namun dipindahkan ke mahkamah yang sama untuk dibicarakan secara bersama, kerana ia membabitkan defendan sama, iaitu Ramasamy.
“Seramai lima orang saksi plaintif termasuk Dr Zakir, akan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu,” katanya.
Pada 16 Oktober 2019, Dr Zakir menyaman Ramasamy selaku defendan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah mengaibkannya, yang dimuat naik di laman sosial dan portal berita antara 2016 dan 2019.
Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 10 April 2016, Ramasamy memfitnahnya apabila memanggil beliau (Dr Zakir) dengan gelaran yang tidak sopan di laman Facebook milik defendan, dan defendan juga sekali lagi telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif, pada 1 Oktober 2017, di mana artikel mengenainya dimuat naik di laman portal Free Malaysia Today (FMT), pada hari sama.
Dakwanya, pada 11 Ogos 2019, defendan memanipulasikan jawapannya ketika berucap dalam ceramah dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan, dan ia juga disiarkan di laman portal FMT pada hari sama, serta mendakwa defendan pada 20 Ogos tahun sama, turut mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif, yang disiarkan media antarabangsa, India Today.
Dr Zakir mendakwa, kenyataan itu membawa maksud, seolah-olah beliau berperwatakan jahat dan mengancam keamanan, serta keharmonian negara.
Oleh itu, plaintif menuntut injunksi bagi menghalang defendan daripada mengeluarkan, menerbitkan atau memuat naik kenyataan fitnah sama, selain menuntut permohonan maaf dan ganti rugi am, teruk, teladan dan pampasan, serta relif lain.
Pada Disember 2019, Dr Zakir sekali lagi menyaman Ramasamy selepas mendakwa defendan memfitnahnya, melalui komen yang disiarkan dalam portal The Malaysian Insight berhubung isu LTTE. –MalaysiaGazette