KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan berhasrat untuk menjadikan Putrajaya sebagai pusat penulisan dan percetakan al-Quran.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pada masa sama perkara lain yang turut akan dilaksanakan adalah ‘Perkampungan al-Quran’ serta membangunkan sebuah masjid yang diharap dapat diperluaskan lagi manfaat perkongsian menerusi ilmu Islam.
“Kita ingin melihat bagaimana ilmu al-Quran dan sebagainya dapat dikongsi dalam kalangan khalayak dengan lebih berkesan apabila adanya studio kupasan ilmu al-Quran dan pelbagai yang lain.
“Dan Kementerian Wilayah Persekutuan sangat berbangga dan bersyukur sempena 25 tahun Putrajaya kita jadikan percetakan al-Quran Mushaf Putrajaya sebagai salah satu inisiatif di dalam Jubli Perak,” katanya pada majlis ringkas penyerahan al-Quran Mushaf Putrajaya kepada Surau Parlimen Malaysia di sini hari ini.
Pada majlis itu, Annuar turut menyumbangkan al-Quran Mushaf Putrajaya serta sumbangan wang tunai berjumlah RM20,000 untuk Surau Parlimen Malaysia.
Katanya, menerusi sumbangan tersebut ia sekaligus dapat memperkenalkan lagi cetakan Al-Quran Mushaf Putrajaya dan berharap dapat dimanfaatkan oleh warga Parlimen Malaysia. – MalaysiaGazette