KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Insaniah SRIKANDI Malaysia menggesa Majlis Raja-Raja menggunakan kuasa membendung penularan wabak politik kebencian yang semakin berleluasa hari ini.
Presiden SRIKANDI Malaysia, Datuk Norasyikin Abd Ghani mengulas mengenai kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terhadap kecurangan dan pihak berkenaan yang menconteng menghina mural gambar pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Tindakan perlakuan menconteng perkataan kesat pada mural wajah mereka adalah jelas menggambarkan kebencian pihak berkenaan terhadap kerajaan dan YDPA.
“Seperti air tempayan yang penuh akan melimpah keluar, tindakan itu adalah hasil limpahan kebencian yang teramat sangat terhadap kerajaan Perdana Menteri dan YDPA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Norasyikin, umum tidak menyalahkan sepenuhnya kepada anak-anak muda yang mungkin terlibat menconteng mural tersebut tapi perlu dilihat kepada siapa yang bertindak mendoktrinkan mereka dengan kebencian kepada raja dan pemimpin Melayu.
“Kita kasihan dan simpati kepada budak-budak tu, jadi balaci anjing tukang conteng dibayar RM50 sahaja. Siapa hantu dalang di belakangnya? Siapa yang bayar duit tu? Apa motif, tujuan dan matlamat mastermind yang buat itu?” soalnya.
Tambah beliau, penderhakaan ini juga jelas tidak mendukung ikrar Rukun Negara, selayaknya mereka ini dilucutkan kewarganegaraan dan dibuang ke luar negara.
Norasyikin juga mempersoalkan pihak polis kerana tidak mengambil langkah dan tindakan menyekat bahaya wabak itu sejak awal lagi.
“Seperti yang disentuh oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, semasa pemerintahan PH rakyat yang mengingatkan supaya disekat pelancong dari China pun ditangkap, dilokap, disaman, didakwa dan dibicarakan atas tuduhan jenayah menimbulkan kegentaran awam?
“Sedangkan perkara itu adalah benar dan telah terbukti benar hingga berjuta dijangkiti dan beratus ribu yang mati diseluruh dunia,” katanya.
Norasyikin turut mengingatkan semua pihak mengenai tujuh wasiat Raja-raja Melayu yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.
“Wasiat ke-7 ialah “Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.
‘Saya mengajak semua rakyat, “Kini rakyat semakin sedar politik kebencian hasutan dan fitnah yang dipelopori dan disebarkan oleh parti-parti tertentu.
“Marilah kita mohon minta kepada tuhan terbalikkan supaya rakyat semakin benci kepada mereka,” kata Norasyikin.-MalaysiaGazette