Home Nasional Kluster Sentosa dikesan di hospital Kuching, Sarawak

Kluster Sentosa dikesan di hospital Kuching, Sarawak

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti satu kluster baru melibatkan sebuah hospital di Kuching Sarawak.

Kluster Sentosa melibatkan seorang petugas kesihatan yang mengalami gejala saluran pernafasan pada 13 Julai 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga hari ini, seramai 61 orang telah disaring, lima daripadanya dikesan positif Covid-19 manakala selebihnya negatif.

“Ini menjadikan kluster ini mempunyai enam kes iaitu lima petugas kesihatan dan satu pekerja syarikat pembersihan. Kesemua kes ini sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak,” katanya ketika sidang media perkembangan wabak Covid-19 di Malaysia di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, operasi hospital berkenaan masih diteruskan namun tidak lagi menerima pesakit dalam manakala pesakit luar akan di rujuk ke hospital berdekatan yang lain buat sementara waktu.

“Langkah pembendungan dan rawatan jangkitan seperti nyahkuman dan nyahcemar sedang dijalankan,” menurut beliau.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut mengumumkan penamatan Kluster Mati Di Rumah (MDR) dengan lima kes dilaporkan sebelum ini melibatkan empat warganegara dan selebihnya bukan warganegara.

Kluster MDR itu sebelum ini direkodkan mengakibatkan satu kematian pada 12 Jun yang lalu.-MalaysiaGazette