Home Nasional Pencapaian bahasa Melayu OKU pendengaran sangat rendah

Pencapaian bahasa Melayu OKU pendengaran sangat rendah

PUTRAJAYA – Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran merupakan antara golongan yang lemah dalam penguasaan bahasa Melayu (BM) kerana kelemahan pendidikan khas yang didedahkan kepada mereka. 

Ahli Dewan Negara Ras Adiba Radzi berkata, golongan ini perlu mendapat didikan yang sesuai dengan  penguasaan BM menerusi teknik pengajaran yang sesuai.

Jelasnya, tenaga pengajar tidak patut bergantung sepenuhnya kepada penggunaan bahasa isyarat kepada OKU yang menggunakan alat bantuan pendengaran kerana ia akan melemahkan penguasaan kosa kata.

“Kami bincang pelajar yang menggunakan alat pendengaran guru perlu bercakap dengan mereka seperti biasa. Jangan guna bahasa isyarat sahaja kerana apabila buat begitu mereka tidak dapat amalkan cara bercakap, perbendaharaan kata, kosa kata. Sangat penting perkara ini,” katanya kepada pemberita selesai Dialog Peningkatan Akademik Murid Berkeperluan Khas (MBK) Kurang Upaya Pendengaran di sini hari ini.

Katanya, taska OKU juga harus dilengkapi dengan tenaga pengajar yang arif tentang pengajaran kurang pendengaran agar penguasaan bahasa itu dapat ditangani.

“Kita mempunyai taska untuk OKU tapi biarlah lengkapkan dengan cikgu-cikgu yang ada kemahiran lengkap.

“Golongan ini perlu dilatih daripada kecil, kalau tidak mereka susah hendak faham kosa kata, sebab itu mereka selalu gagal dalam peperiksaan bahasa Melayu.

“Pencapaian mereka dalam BM pada tahap sangat minimum,” katanya lagi.-MalaysiaGazette