BANGI- Perpaduan negara berhubung rapat dengan perkembangan ekonomi, kata Profesor Ulung, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.
Tanpa perpaduan, katanya, ekonomi tidak akan berkembang maju dan perkara yang sama akan berlaku jika sebaliknya.
Justeru, kemampuan Malaysia untuk membentuk perpaduan rakyat bukan hanya perlu dipamer di dalam negara bahkan kepada negara-negara lain.
Kementerian Perpaduan memainkan peranan penting dalam membantu negara melaksanakan semua agenda perpaduan, ujarnya.
“Isu perpaduan negara jika ekonomi tidak bagus tetapi perpaduan tidak bagus tidak jadi juga ekonomi negara.
“Perpaduan bagus ekonomi tidak bagus pun tidak boleh juga jadi hubungan perpaduan dan ekonomi negara itu sangat penting di situlah letaknya kemampuan Malaysia nanti mempamerkan kepada dunia tentang perpaduan.
“Kementerian Perpaduan ini saya suka diwujudkan supaya dapat mempromosi bukan sahaja perpaduan dalam kalangan kita sendiri tetapi di negara lain,” katanya.
Terdahulu beliau diumumkan oleh Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique sebagai Penasihat Perpaduan kepada kementerian berkenaan.
Shamsul merupakan salah seorang daripada lima Profesor Ulung di Malaysia lantikan Kementerian Pengajian Tinggi.
Beliau kini merupakan Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau merupakan arkitek Blueprint atau Pelan Perpaduan Kesepaduan, Penyatupaduam Malaysia (2015), Indeks Perpaduan Nasional 2018 (IPNaS) dan Pelan Tindakan Perpaduan Nasional 2019.
Tanggungjawabnya kini sebagai Penasihat Perpaduan adalah mengatur, berunding dan terlibat dalam proses konsultasi daripada pelbagai peringkat antara kerajaan dan rakyat mengenai perpaduan. – MalaysiaGazette