KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ingin melihat UMNO dan Barisan Naisonal (BN) terus menjadi parti yang dekat dengan hati rakyat serta semakin mendapat sokongan dan dihormati.
Itu antara harapan Ahli Parlimen Pekan itu sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-67 hari ini sambil menyifatkan parti Melayu itu sebagai banyak berbudi kepada rakyat dan negara.
“Siapa yang menidakkan UMNO sebenarnya menafikan hakikat bahawa UMNO adalah parti yang telah banyak berbudi dan berjasa kepada negara, rakyat dan agama.
“Kita juga menunjangi dasar-dasar yang telah membuat perubahan yang besar kepada negara kita.
“Mudah-mudahan kita diberi peluang akan datang untuk meneruskan kesinambungan usaha-usaha untuk pembangunan dan perubahan yang besar kepada negara kita,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelahirannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini.
Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.
Hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.
Terdahulu majlis ulang tahun kelahiran negarawan itu dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, disusuli dengan bacaan Yasin serta tahlil dan solat Isyak berjemaah.
Dalam pada itu, Najib juga mengucapkan terima kasih rakan-rakan dalam UMNO yang bersama-sama memeriahkan sambutan ulang tahun kelahiran beliau yang disifatkannya sebagai luar biasa.
“Kemeriahan ini saya tidak duga menunjukkan bahawa semangat ahli-ahli parti cukup kuat untuk meneruskan perjuangan kita.
“Majlis ini juga kita buat cara bersantai supaya kita dapat mengeratkan silaturahim antara semua peringkat kepimpinan UMNO,” katanya.
Sementara itu, Najib optimis bahawa UMNO merupakan sebuah parti politik yang sudah lama relevan dalam arena politik tanahair.
“UMNO sudah relevan pun walaupun kita tewas tapi kita tewas kerana fitnah dan janji palsu,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya lagi, rakyat hari semakin sedar dengan tipu muslihat Pakatan Harapan (PH) yang berjaya meranapkan BN dalam PRU14 lalu.
“Hari ini ramai sudah sedar bahawa mereka telah kena tipu dan mereka nak bangkit semula dan memberi sokongan lebih besar kepada UMNO BN dan rakan-rakan kita dalam Muafakat Nasional,” katanya lagi. – MalaysiaGazette