Home Utama Suami seorang Youtuber sensasi didakwa memiliki senjata bahaya

Suami seorang Youtuber sensasi didakwa memiliki senjata bahaya

Suami seorang Youtuber sensasi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memiliki senjata berbahaya, pada Selasa lepas.-Gambar FB

IPOH – Suami seorang Youtuber sensasi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memiliki senjata berbahaya, pada Selasa lepas.

Tertuduh, M.Sugu, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil, di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan, Sugu yang merupakan bekas pekerja sebuah ladang estet di Sungai Siput dituduh memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66.040 cm (26 inci) bertulis Tiger di parkir Wad Paliatuf PCU Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Jalan Raja Ashman Shah, di sini, kira-kira pukul 6 petang, 21 Julai lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6(1), Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail membantah sebarang wang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan itu lazimnya tidak ditawarkan jaminan.

“Senjata ditemui di tempat awam di mana hospital merupakan satu tempat yang selamat. Tujuan (senjata) pula digunakan untuk kekerasan rumah tangga. Namun ia atas budi bicara mahkamah, dan sekiranya dibenarkan jaminan, saya memohon RM20,000 dikenakan,” katanya.

Peguam, Mahinderjit Singh yang mewakili Sugu pula memohon jaminan diberikan terhadap tertuduh memandangkan isterinya, S.Pavithra, 28, telah menarik balik laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Sungai Senam, pada 22 Julai.

“Tertuduh juga mempunyai dua anak yang masih kecil dan kejadian itu merupakan sedikit salah faham. Isteri tertuduh juga turut hadir di mahkamah hari ini. Tertuduh juga sedia menerima syarat-syarat tambahan yang dikenakan bagi memastikan beliau hadir ke mahkamah,” katanya sambil menegaskan gelaran ikon itu adalah Pavithra bukan tertuduh, Sugu.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Fauzi berkata kes ini bukan kerana gelaran ‘ikon’ tetapi atas sebab keseriusan kes.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap 1 haribulan sehingga kes selesai selain menetapkan 17 Ogos sebagai tarikh sebutan semula.

Terdahulu, Sugu tiba di mahkamah pada 8.45 pagi dengan memakai kemeja-T berwarna merah dalam keadaan bergari.

Pavithra, yang baru-baru ini menerima pengiktirafan Ikon Anak Bandar Raya Ipoh Tahun 2020 oleh Majlis Bandaraya Ipoh, turut hadir membawa peguam, Mahinder, yang mewakili suaminya, Sugu, pada prosiding hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan Sugu yang dalam keadaan mabuk membawa sabit mencari adik iparnya kerana masalah keluarga ditahan di luar wad bersalin HRPB, pada Selasa petang.

Kejadian itu berpunca akibat salah faham antara suspek dengan isterinya berkaitan satu majlis yang berlangsung di sini, Isnin lepas.

Perselisihan itu berlanjutan sehingga suspek datang ke hospital itu dalam keadaan marah.- BERNAMA