Home Politik ADUN Sri Tanjung diberi tempoh 14 hari mohon maaf – Amirudin

ADUN Sri Tanjung diberi tempoh 14 hari mohon maaf – Amirudin

Bekas Pengerusi Tetap Angkatan Muda Keadilan (AMK) Port Dickson, Amirudin Abdul Wahab bercakap dengan media mengenai pengumuman tindakan saman ke atas Adun Sri Tanjung, Ravi Munusamy ketika di Putra Taulan & Faiq Azizan, Kota Warisan, Sepang. foto MOHD ADZLAN, 24 JULAI 2020.

SEPANG – Bekas Pengerusi Tetap Angkatan Muda Keadilan (AMK) Port Dickson, Amirudin Abdul Wahab memberikan tempoh 14 hari kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, M. Ravi untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan terhadap beliau.

Amirudin berkata, beliau tidak menerima sebarang surat pemecatan sebagai ahli PKR oleh Biro Disiplin parti dan hanya mengumumkan keluar parti pada 11 Julai lalu.

“Saya menafikan kenyataan itu yang mana saya setakat hari ini belum menerima apa-apa surat daripada Biro Disiplin parti ataupun surat penggantungan keahlian saya.

“Saya memohon supaya ADUN Sri Tanjung menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf. Sekiranya gagal dalam tempoh 14 hari, kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.

“Dalam kenyataan beliau menyatakan saya telah diambil tindakan disiplin sebelum saya keluar parti,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Bekas Pengerusi Tetap Angkatan Muda Keadilan (AMK) Port Dickson, Amirudin Abdul Wahab bercakap dengan media mengenai pengumuman tindakan saman ke atas Adun Sri Tanjung, Ravi Munusamy ketika di Putra Taulan & Faiq Azizan, Kota Warisan, Sepang. foto MOHD ADZLAN, 24 JULAI 2020.

Amirudin berkata, Ravi yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dalam kenyataannya mendakwa beliau telah dipecat daripada parti sebelum kenyataan keluar parti dibuat.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan tuduhan Ravi itu bertujuan memburukkan imej beliau.

“Satu imej yang memburukkan saya atas kerelaan saya untuk keluar parti. Jadi kenyataan beliau seolah menjatuhkan maruah saya sebagai ahli parti sejak tahun 1999 lagi.

“Saya telah membantu beliau sebagai pengarah Pilihan Raya yang beliau bertanding pada tahun 2008,” katanya lagi.

Tindakan saman itu diuruskan oleh pihak Putra Taulan dan Faiq Azizan.

Amirudin pada 11 Julai lalu bertindak keluar parti bersama-sama 100 ahli AMK cabang itu kerana tidak bersetuju dengan hala tuju parti yang disifatkan hanya bertujuan menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Antara yang turut keluar PKR ialah setiausaha dan kesemua 15 ahli jawatankuasa AMK Port Dickson.

Amirudin berkata kumpulan itu turut menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MalaysiaGazette