Home Nasional Noh umum RM3.6 juta baiki bumbung Pangsapuri Taman Keramat

Noh umum RM3.6 juta baiki bumbung Pangsapuri Taman Keramat

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (tengah) memberi penerangan kepada Ketua UMNO Cawangan Rumah Pangsa Taman Keramat, Ab Jabbar Kasim (dua kiri) semasa membuat tinjauan sekitar Rumah Pangsa Taman Keramat di Keramat, Ulu Klang. foto FAREEZ FADZIL, 01 JUN 2017

HULU KELANG – Penduduk Taman Keramat yang berdepan masalah bumbung rosak sejak beberapa tahun lalu kini mendapat khabar gembira.

Tan Sri Noh Omar mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM3.6 juta untuk membaiki 18 blok pangsapuri di kawasan berkenaan hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor yang membuat tinjauan di sekitar kawasan pangsapuri bertemu dengan penduduk untuk mendengar aduan mereka berhubung masalah sama yang dihadapi mereka setiap tahun.

“Kami hari ini membuat lawatan ke sekitar 18 blok pangsapuri yang memiliki 688 unit rumah disini untuk mendengar keluhan mereka

“Mereka mengadu tentang bumbung rumah yang rosak dan saya bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM3.6 juta bagi membaikinya dengan menggunakan bajet dibawah ICU,” katanya yang juga Menteri Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar itu semasa ditemui media.

Noh dalam lawatannya juga melawat tapak bazar Ramadan dan berbuka puasa bersama penduduk.

Sementara itu, seorang wakil penduduk, Mohamad Halim memberitahu,  mereka berdepan masalah kerosakan bumbung itu hampir setiap tahun apabila ribut melanda  dan melahirkan rasa lega selepas Noh mengumumkan kesediaan untuk membaiki bumbung tersebut.

“Setiap tahun hampir empat kali bumbung pangsapuri disini akan rosak apabila rosak. Kami penduduk lega apabila Tan Sri Noh mengumumkan bajet ini untuk membaiki kerosakan yang kami hadapi.

“Pangsapuri disini agak lama, hampir 40 tahun lamanya. Jadi diharapkan dengan peruntukan ini kami dapat ganti bumbung dengan lebih berkualiti dan tahan lasak,” katanya. – MalaysiaGazette