Home Nasional Lebih 60,000 pekerja diberhentikan majikan sejak awal tahun ini

Lebih 60,000 pekerja diberhentikan majikan sejak awal tahun ini

M.Saravanan

TAPAH – Seramai 64,495 pekerja daripada pelbagai sektor di seluruh negara telah kehilangan pekerjaan sejak awal tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata, statistik yang dikeluarkan Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu adalah lebih tinggi berbanding kadar 55,000 orang diberhentikan kerja yang telah diberikan pelbagai agensi pekerjaan.

Justeru, Saravanan berkata, kerajaan telah mengambil beberapa langkah antaranya memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PenjanaKerjaya) bermula 15 Jun lepas bagi membantu pekerja yang diberhentikan.

“Sehingga 23 Julai lalu, seramai 16,198 majikan telah membuat pendaftaran menerusi insentif ini dan daripada jumlah itu, 2,240 majikan telah membuat pengambilan pekerja dan seramai 6,928 pekerja telah diambil bekerja.

“Dalam masa yang sama kita mengumumkan kita tidak membenarkan pekerja asing dibawa masuk ke negara ini, dan pada masa yang sama saya bersetuju dengan pendapat majikan untuk mengambil semula pekerja atau apabila ada sektor yang ditutup, pekerja dari sektor tertentu akan berpindah ke sektor yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Karnival dan Pelancaran Inisiatif PenjanaKerjaya Perkeso di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Jamil Rakon, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Jeffry Joakim, Pengerusi Lembaga Pembangunan Sumber Manusia Berhad Datuk Nelson Renganathan dan Pengarah Perkeso Perak Anthony Arul Dass.

Sebanyak 7,000 kekosongan jawatan ditawarkan dan lebih 20 majikan mengambil bahagian dalam program temu duga terbuka di karnival tersebut yang berlangsung sejak pukul 9 pagi sehingga 4.30 petang.

Saravanan berkata, karnival PenjanaKerjaya itu akan diperluaskan di beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Sarawak bagi membantu ramai lagi individu yang memerlukan pekerjaan.

Menurutnya, di Perak, seramai 420 majikan telah mendaftar di bawah Program PenjanaKerjaya dan daripada jumlah itu, 147 majikan telah menggajikan pekerja dan 510 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan di bawah program tersebut.

“Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran di negeri Perak pada suku pertama tahun ini adalah 3.4 peratus dan menurut Portal Perak Hari Ini, pengangguran belia berumur 15 hingga 30 tahun pula adalah pada kadar lima peratus.

“Berdasarkan statistik Pejabat SIP Perkeso, sejak Januari sehingga 15 Julai tahun ini, seramai 3,472 pekerja kehilangan pekerjaan di Perak berdaftar dengan SIP,” katanya.

Sementara itu, seorang lelaki Orang Asli, Rimi Busu, 32, berkata dia bersyukur diterima bekerja di sebuah kilang cendawan tiram kelabu menerusi Program PenjanaKerjaya bulan lepas setelah mengharungi perjalanan menaiki motosikal hampir lapan jam dari Pos Balar, Gua Musang, Kelantan.

Rimi berkata, dia mula bekerja di kilang berkenaan yang terletak di Temoh Stesen selepas hampir tiga bulan menganggur.

“Saya rasa bersyukur dapat bekerja semula dan memperoleh pendapatan untuk meneruskan kehidupan,” katanya yang masih belum berkahwin. – Bernama