KUALA LUMPUR – Projek Agropolitan Kelantan Selatan (AKS), inisiatif pembasmian kemiskinan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus diperkukuhkan lagi bagi manfaat golongan berpendapatan rendah (B40).
Di bawah program tersebut, golongan miskin tegar telah dapat meningkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka.
Sejak dilaksanakan pada tahun 2009, program ini telah memberi manfaat
kepada seramai 590 peserta.
“Menerusi inisiatif-inisiatif AKS yang bersifat holistik ini, usaha ECERDC untuk mengurangkan kebarangkalian kemiskinan masa hadapan telah membuahkan hasil.
”Sejak pelaksanaannya pada tahun 2009, kita dapat lihat perubahan yang ketara dalam hidup para peserta hasil daripada komitmen dan usaha gigih mereka.
”Anak-anak para peserta juga telah mendapat manfaat daripada persekitaran yang lebih selesa dan telah berjaya meningkatkan pencapaian akademik mereka,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi),Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengadakan lawatan kerja ke Agropolitan Kelantan Selatan.
Menerusi program ini, para peserta ditempatkan semula di rumah-rumah baharu yang dibina oleh ECERDC dan diberikan pekerjaan dalam aktiviti-aktiviti perniagaan tani untuk memperoleh pendapatan yang mampan.
Menerusi penglibatan para peserta dalam aktiviti-aktiviti perniagaan tani, para peserta kini dapat menikmati pendapatan bulanan yang stabil secara purata sebanyak RM1,500 berbanding hanya kira-kira RM400 sebulan sebelum menyertai projek tersebut.
Projek ini menekankan kepada pendekatan bersepadu yang melibatkan penempatan para peserta di dalam aktiviti primer perladangan kelapa sawit serta aktiviti sekunder seperti penanaman koko dan cili, serta agrotourism.
Ia turut menumpukan kepada pembangunan nilai komuniti dan peribadi. ECERDC
telah melaksanakan program pembangunan modal insan yang inklusif bagi manfaat para
peserta dan ahli keluarga mereka.
Ahli Isi Rumah digalakkan untuk menyertai program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER sebagai satu cara untuk mempelbagaikan dan meningkatkan tahap pendapatan keluarga, di samping menjadi penyumbang kepada kewujudan peluang pekerjaan dalam komuniti mereka.
Sehingga kini, seramai 40 Ahli Isi Rumah telah mengikuti program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER yang mana kini terdapat 36 usahawan menjalankan perniagaan. – MalaysiaGazette