Home Seni Hidup Allianz, Pusaka terbit Projek Bina Bangsa

Allianz, Pusaka terbit Projek Bina Bangsa

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebudayaan Pusaka dengan kerjasama Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) bakal memulakan sebuah usaha ilmiah khalayak ramai, Projek Bina Bangsa yang akan membawa erti yang lebih mendalam mengenai pembentukan Malaysia.

Melalui penerbitan bersiri 10 naskah buku yang meneroka asas-asas pembentukan negara, Projek Bina Bangsa bakal menyediakan bahan penting untuk pendidikan masyarakat dan perbincangan yang lebih luas tentang sejarah Malaysia, baik hari ini mahupun di masa hadapan.

Usaha yang diketuai oleh Eddin Khoo, seorang penulis, penyelidik budaya, dan anak kepada sejarawan terkemuka negara iaitu mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Khoo Kay Kim.

Eddin Khoo

Projek Bina Bangsa akan menerbitkan 10 buku yang menjadi tanda aras pembentukan Malaysia, dengan topik Rukun Negara, Kesatuan Malaya, Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Pembentukan Malaysia, Akta Bahasa Kebangsaan dan Kongres Kebudayaan Kebangsaan, Undang-Undang Melaka, Perjanjian Pangkor, Enakmen Tanah Rizab Melayu 1913, Dasar Ekonomi Baru, dan Wawasan 2020.

”Sejak akhir-akhir ini, kesedaran serta minat untuk meneroka sejarah semakin berkembang di kalangan rakyat Malaysia jadi melalui usaha sebegini, Pusaka berharap untuk membawa khalayak ramai meneroka sebuah renungan yang bermakna dalam mendalami asas-asas pembentukan sebuah negara,” menurut Eddin.

Buku-buku ini akan diterbitkan secara berperingkat antara bulan Ogos dan Disember pada tahun ini dan bakal didapati di kedai-kedai buku terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir percaya penglibatan dalam perkhidmatan perlindungan dan juga sebagai ahli korporat di Malaysia, agen insurans ini juga boleh memainkan peranan yang penting dalam mengukuhkan pelestarian negara melalui perpaduan.

”Sejarah Malaysia yang menakjubkan selalu sahaja tidak dihargai sepenuhnya.

”Buku-buku teks untuk pembelajaran di sekolah hanyalah sekadar memberi gambaran ringkas tentang perjuangan getir perwira negara dalam mencapai kemerdekaan.

”Ruang maklumat dan sejarah-sejarah yang terlupakan ini mampu menyemai sifat bangga dan memupuk semangat perpaduan negara tanpa mengira bangsa dan agama,” ujar Zakri.

Selain dari penerbitan buku, Projek Bina Negara bakal menerbitkan siri video dan sesi perbincangan atas talian berkisar tentang 10 topik utama seperti yang direncana.

Pendekatan sebegini bertujuan untuk menggalakkan penglibatan generasi muda Malaysia, para pelajar, kumpulan sivil, pengamal media, wakil masyarakat, serta memperluas jaringan wacana dan renungan terhadap sejarah Malaysia. – MalaysiaGazette