KUALA LUMPUR – Sebanyak 16 lokasi di Gombak mengalami gangguan bekalan air akibat paip pecah di Rumah Pam Melawati.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, susulan daripada itu, sistem rumah pam tersebut terpaksa dihentikan pada jam 8.30 pagi tadi.
Menurutnya, sehingga pukul 1 petang, Air Selangor sedang giat melaksanakan kerja pembaikan paip pecah dan membaik pulih sistem rumah pam tersebut.
“Bantuan air melalui lori-lori tangki ke kawasan terjejas sedang digerakkan bagi membantu pengguna,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Antara kawasan yang terjejas adalah Taman Melawati, Kemensah Residensi, Saujana Melawati, Sunway Kayangan, Sunway Melawati, Tiara Kemensah, Tropika Kemensah, Twin Palm Kemensah, Ukay Prima, Bukit Melawati, Nadayu Melawati, Amber Hill, Kampung Klang Gate, 203 Melawati, Zoo Negara dan Kemensah Heights. – MalaysiaGazette