Home Nasional Peniaga tertipu, berniaga tanpa permit buat laporan polis

Peniaga tertipu, berniaga tanpa permit buat laporan polis

Datuk Mohd Ridzuan Abdullah
Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah

SHAH ALAM – Sebanyak 52 peniaga dakwa tertipu!

Mereka sebelum itu disarankan berniaga di lot promosi tetapi tiada permit di ruang legar kompleks beli belah Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS) di sini.

Lot promosi itu sebenarnya dibuka secara haram walaupun tidak mendapat permit dengan tempoh promosi hingga hujung bulan ini.

Untuk rekod, sejak pandemik Covid-19, kerajaan Selangor tidak membenarkan sebarang aktiviti di ruang legar sebagai usaha pematuhan Operasi Prosedur Standard (SOP) bagi memutuskan rantaian ancaman itu.

Menurut Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, pihaknya yang mewakili peniaga PKNS mengesahkan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Shah Alam berhubung perkara tersebut.

“Antara isi kandungan laporan polis itu adalah lot promosi itu disediakan oleh pihak pengurusan PREC, bertarikh 10 Julai hingga 30 Julai 2020.

“PREC didakwa telah memberitahu para peniaga bahawa promosi ditangguhkan kerana belum mendapat permit daripada Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA). Peniaga akur dengan penangguhan tersebut berdasarkan situasi PKPP.

“Bagaimanapun pada 23 Julai pihak PREC telah memaklumkan bahawa permit diperolehi dan mengarahkan peserta untuk memulakan perniagaan di tapak promosi secara percuma.

“Namun atas kebimbangan keadaan PKPP, peniaga telah menghubungi pihak MBSA untuk mendapatkan penjelasan mengenai permit MBSA bagi promosi berkenaan.

“Pihak MBSA telah memaklumkan bahawa tiada sebarang kelulusan permit telah dikeluarkan. Oleh yang demikian, ke semua lot promosi ini beroperasi secara haram dan menghadapi pelbagai risiko,” katanya kepada wartawan hari ini.

Tambah Ridhuan, peniaga membuat laporan polis kerana berasa tertipu dengan pihak pengurusan dan jika ada unsur rasuah kita minta SPRM siasat kenapa tidak ikut SOP.

“Mereka bukan sahaja menipu tetapi ia satu tindakan untuk memerangkap dan menganiaya peniaga.

“Sebagai contoh, sebelum ini, para peniaga di SACC Mall di bawah pihak pengurusan sama diberi surat merah dan diugut akan diambil tindakan jika tidak bayar dalam tempoh seminggu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak bagi peniaga SACC Mall, Nora Malikiaman berkata, sebelum ini pihak pengurusan menjanjikan sewa percuma atau potongan 50 peratus selama setahun tetapi hanya cakap kosong sahaja.

“Ganti rugi peniaga tidak boleh diberi kerana tidak mendapat bajet dari kerajaan Selangor tetapi setelah dapat bajet masih tidak diberi.

“Juga sebelum ini peniaga hanya lewat sebulan bayar sewa kerana tiada pendapatan tetapi telah dianiaya dengan kereta dihalang, tak dibenarkan keluar.

“Maka jika peniaga berniaga tanpa permit sudah tentu akan diambil tindakan. Jika tidak berniaga pula juga sudah tentu kami akan diambil tindakan. Apa yang perlu kami lakukan?

“Peniaga di tempat lain seperti di bazar malam Seksyan 9 Bangi dibawah Majlis Perbandaran Kajang juga ditindas dianiaya dan tidak dibenarkan berniaga dengan berbagai alasan tidak munasabah.

“Malah pemandu kren dilayan seperti hamba abdi bekerja lebih masa tetapi tidak dibenarkan membuat tuntutan kerja lebih masa.

“Kerajaan Selangor ini telah jelas mengkhianati mandat yang diberikan rakyat maka kami pengundi dan peniaga khususnya bumiputera dan rakyat Selangor merafak sembah memohon kepada Tuanku Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Sultan Idris supaya membubarkan DUN supaya kerajaan yang baru boleh dipilih semula melalui pilihan raya negeri,” katanya. – MalaysiaGazette