Home Nasional 13 kes baharu Covid-19, satu kematian – Noor Hisham

13 kes baharu Covid-19, satu kematian – Noor Hisham

Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Terdapat sebanyak 13 kes baharu Covid-19 yang telah dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah kes positif wabak itu di Malaysia meningkat kepada 8,897 kes serta penambahan satu kes kematian.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 173 kes.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Kes terbaharu itu membabitkan tiga kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan seorang rakyat tempatan dan dua warga asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

Tiga kes import tersebut adalah masing-masing satu kes dari Pakistan dan Kazakhstan ( kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan Indonesia (1 kes di Kelantan).

Daripada 10 kes penularan di dalam negara, satu kes adalah dalam kalangan bukan warga negara manakala sembilan kes adalah warga Malaysia.

Kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warga negara adalah dari Kluster Bukit Tiram (Johor).

Manakala kes penularan Covid-19 dalam negara dalam kalangan rakyat Malaysia adalah warganegara Malaysia (9 kes) pula adalah enam kes daripada Kluster Bukit Tiram; satu kes daripada saringan pra-prosedur di Pahang dan kes daripada saringan kontak rapat kepada kes ke-8662 di Sabah.

Satu lagi kes daripada Kluster Sentosa, kata Noor Hisham.

Menurutnya, kes kematian ke-124 pula membabitkan seorang warga emas wanita yang berusia 63 tahun yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis dan hypercholesterolemia

Mangsa yang merupakan kes ke8,743, mempunyai gejala demam dan batuk pada 3 Julai 2020 serta mendapat rawatan pada 9 Julai 2020.

Beliau dirujuk ke Hospital Umum Kuching pada hari yang sama untuk rawatan lanjut dan didapati positif Covid-19.

Keadaan beliau didapati merosot dan kemudiannya semakin tenat sebelum disahkan meninggal dunia pada 26 Julai lalu pukul 12.04 pagi.

Sehingga kini, terdapat dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, yang mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, katanya sebanyak enam yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,600 kes (96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).- MalaysiaGazette