PUTRAJAYA – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini memberi keterangan hampir lapan jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.
Beliau kelihatan bersama peguamnya, RSN Rayer keluar meninggalkan ibu pejabat SPRM kira-kira jam 7 malam tadi dan terus menaiki kenderaan Mercedes berwarna perak.
Kedua-dua mereka juga kelihatan tergesa-gesa meninggalkan ibu pejabat SPRM dan enggan memberi sebarang komen pada hari ketiga mereka dipanggil untuk memberi keterangan.
Terdahulu, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang ditemani peguam RSN Rayer kira-kira jam 10.40 pagi tadi dengan menaiki kenderaan jenis Mercedes berwarna perak.
Semalam, Guan Eng yang sepatutnya tiba di SPRM bagaimanapun muncul pada jam 12.40 tengahari dengan menaiki Peugeot sedan berwarna hitam.
Ia susulan kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna putih yang dinaiki pada awalnya pancit di tengah jalan di Simpang Pulai, Perak.
Rabu lalu, Guan Eng dan RSN Rayer dilihat meninggalkan SPRM pada jam 7.13 malam dengan menaiki Toyota Vellfire putih selepas lebih enam jam memberi keterangan.
Guan Eng tiba di SPRM kira-kira jam 1.05 tengah pada Rabu ditemani Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong.
Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan beberapa Exco dan bekas Exco kerajaan Pulau Pinang dilaporkan turut memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega berkenaan yang membabitkan anggaran kos keseluruhan RM6.3 bilion.
Sehingga kini, SPRM sudah menahan seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan tiga syarikat diserbu kerana dipercayai ada kaitan dengan projek berkenaan.
Kes itu disiasat oleh SPRM sejak tahun 2017. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: