KUALA LUMPUR- Malaysia akan berkongsi pengalamannya dalam mengharungi impak sosio-ekonomi dan memastikan nyawa dan kehidupan rakyat dilindungi semasa pandemik Covid-19 di mesyuarat digital dengan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, esok.
Delegasi Malaysia akan diketuai oleh Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang turut ditemani timbalannya, Datuk Lim Ban Hong.
Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi Asean itu, dihoskan oleh Vietnam dan dijangka membincangkan pelan tindakan Asean-Jepun dalam menghadapi Covid-19 susulan Kenyataan Bersama Inisiatif Tindakan Kemampanan Ekonomi Dalam Menghadapi Wabak Covid-19 yang dikeluarkan pada 22 April lalu.
Malaysia yang dianggap sebagai salah sebuah negara terbaik dalam menguruskan impak Covid-19 akan berkongsi pengalaman dan usahanya di dalam mengekang penularan virus berkenaan dan dalam masa yang sama menyeimbangkan ekonomi Malaysia.
Antara langkah yang telah diambil adalah pakej rangsangan ekonomi Penjana dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang melihat pembukaan semula aktiviti ekonomi bagi memastikan pertumbuhan negara terus mampan di samping melindungi nyawa dan kesejahteraan rakyat.
Menurut MITI, mesyuarat tersebut akan menjadi wadah kepada Malaysia menerusi platform Asean untuk menjalin kerjasama rapat dengan Jepun dan negara-negara anggota yang lain.- MalaysiaGazette