KUALA LUMPUR – Faktor persekitaran serta liga yang dikendalikan secara profesional serta kompetitif menjadi daya penarik kepada kehadiran pemain import dari Lubnan kebelakangan ini untuk hadir mencuba nasib bermain di negara ini.
Hakikat itu dikongsikan salah seorang pemain Lubnan yang kian menyerlah bersama UiTM FC, Rabih Atiya yang mengakui cukup gembira dengan apa dilalui sejak tinggal di sini lapan bulan yang lalu.
Dalam masa sama, pengalaman baik dilalui ramai pemain Lubnan yang pernah bermain di Liga Malaysia membuatkan dia tertarik untuk mengembangkan kariernya di sini.
“Saya tidak mengetahui banyak mengenai Liga Malaysia sebelum datang ke sini tetapi sejak bermain dengan UiTM, saya rasa berpuas hati dengan kualiti permainan di sini.
“Sebagai contoh, dua perlawanan saya hadapi JDT (Johor Darul Ta’zim) dan Kedah, dua pasukan yang lihat begitu baik walaupun pasukan saya tewas kepada JDT dan seri dengan Kedah.
“Liga Malaysia semuanya diuruskan secara profesional berbanding dengan apa ada di Lubnan walaupun begitu kompetitf tetapi secara keseluruhannya tidaklah profesional seperti di sini,” katanya.
Mohammed Ghaddar adalah antara nama besar dari Lubnan yang pernah mewarnai saingan Liga Malaysia terutama di Kelantam apabila memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2012 selain dengan JDT pada 2017 untuk kejuaraaan Liga Super dan Piala Malaysia.
Ataya sudah menjaringkan satu gol selepas empat perlawanan bersama UiTM FC di saingan CIMB Liga Super ketika berdepan PDRM yang menyaksikan kemenangan tunggal buat pasukan dari Institut Pengajian Awam Tinggi (IPTA) itu menerusi keputusan 3-1.
Dia juga menjadi antara pemain import yang menyerlah dalam saingan CIMB Liga Super setakat ini apabila aksinya di posisi sayap kanan sentiasa menjadi nadi utama kepada jentera serangan UiTM FC.
Sementara itu, Ataya mendedahkan hampir semua pemain Lubnan memuji Liga Malaysia selain faktor persekitaran di sini amat sesuai buat mana-mana pemain untuk tinggal.
“Ada lima pemain Lubnan yang pernah dan sedang bermain di sini berkongsi pengalaman mereka yang menjadikan saya tidak berfikir panjang untuk datang ke sini.
“Antaranya Jad Nourreddine (Perak), Abou Bakr Al-Mel (Kelantan) dan Hassan Ali Chaito (Terengganu), mereka semuanya beritahu suruh datang ke sini sambil menceritakan semuanya cukup positif tentang di sini termasuk saingan liganya.
Tambahan saya sebagai seorang muslim, situasi Malaysia sebagai negara Islam memudahkan saya buat keputusan dan selepas tinggal di sini, saya begitu gembira daripada semua segi, “ katanya.
Saingan Liga Malaysia akan kembali bersambung pada 26 Ogos ini membabitkan CIMB Liga Super dan Liga Premier manakala saingan Piala Malaysia akan bermula pada 17-18 Oktober depan. – MalaysiaGazette