Home Politik Calon PM: Pakatan pembangkang letak syarat baru

Calon PM: Pakatan pembangkang letak syarat baru

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifudin Nasution (kanan) bersama Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil (kiri) menunjukan logo Kongres Keadilan ke 12 yang akan berlangsung 21 hingga 22 Mei 2017 pada sidang media di Ibupejabat PKR, Petaling Jaya. foto SAFWAN MANSOR, 15 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dipercayai meletakkan syarat baharu dalam pencalonan perdana menteri daripada pihak pembangkang sekiranya menang pada PRU14 kelak.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, individu yang akan dilantik menjadi calon PM pembangkang perlu bertanding pada PRU14 kelak dan mendapat persetujuan majoriti daripada semua kepimpinan parti dalam gabungan pembangkang.

“Seperti yang disebut oleh Datuk Sri Wan Azizah Wan Ismail, perdana menteri nanti akan dipilih dalam kalangan ahli-ahli parlimen yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli parlimen.

“Maka individu itulah yang akan dilantik menjadi perdana menteri, jadi prosesnya agak jelas dari segi prosedur dan perlembagaan,” katanya memetik laporan sebuah portal hari ini.

Fahmi berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berkata beliau berkemungkinan akan mempertimbangkan jawatan selaku Perdana Menteri sekiranya diminta oleh PH.

Perkara itu dinyatakan bekas perdana menteri itu secara langsung di akaun Facebooknya semalam.

Kenyataan Fahmi nyata bertentangan dengan hasrat Mahathir sebelum ini berkata beliau agak berat untuk bertanding pada PRU kerana faktor usia.

Dalam pada itu, Fahmi berkata pemilihan calon perdana menteri bagi gabungan itu belum menjadi satu keputusan yang kritikal buat masa ini.

Malah, proses penentuan calon perdana menteri hanya akan berlaku pada masa yang akan ditentukan kelak.

“Saya rasa anggota dan pimpinan PKR satu suara satu hati terutama dalam usaha untuk mengangkat martabat rakyat dan memperjuangkan agenda rakyat, seperti yang saya sebutkan tadi.

“Siapa yang menjadi perdana menteri nanti akan dipilih dalam kalangan ahli-ahli parlimen, bila kita tiba ke saat itu, maka proses itu secara automatik akan berlaku,” katanya. -MalaysiaGazette.