KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan akan menyediakan satu mekanisme harga petrol yang tidak membebankan rakyat sekiranya harga bahan api itu melonjak mengikut pengiraan Automatic Pricing Mechanism (APM) yang digunakan sekarang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, harga bahan api yang murah ketika ini menyebabkan tiada keperluan untuk kerajaan menyemak mekanisme sedia ada.
“Kerajaan ini adalah kerajaan prihatin.
“Kita boleh buat program yang jauh lebih baik untuk mengurangkan beban rakyat.
“Usahlah risau. Jika ada yang risau, kerajaan akan tetap lakukan sesuatu untuk kurangkan beban rakyat
“Sekarang kita guna program biasa dahulu dan akan buat perbincangan di peringkat kementerian dan Kabinet,” katanya ketika ditanya mengenai pembatalan Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar bagi menggantikan mekanisme subsidi petrol ketika ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid ketika menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) di Parlimen hari ini memaklumkan keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat bersama kementeriannya (KPDNHEP) dengan Kementerian Kewangan (MoF), pada 9 Julai lalu.
Ketika ini harga siling petrol bersubsidi RON95 ditetapkan pada kadar RM2.08 seliter manakala diesel RM2.18 seliter.
RON97 diapungkan mengikut harga pasaran.
Terdahulu, Alexander melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dekat sini. -MalaysiaGazette