KUALA LUMPUR – Individu yang kehilangan kerja pada tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan baharu layak menikmati moratorium lanjutan untuk tempoh tiga bulan lagi.
Selepas tempoh tersebut, moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi masing-masing.
Selain itu, pekerja yang terpaksa dipotong gaji boleh mendapat pengurangan bayaran ansuran bulanan selaras dengan pengurangan gaji tersebut dan bergantung kepada jenis pinjaman untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.
Lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan.
Ini merupakan inisiatif terkini kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Saya berharap Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar ini akan dapat meringankan beban saudara dan saudari yang terjejas dengan masalah ekonomi akibat pandemik COVID-19.
“Dengan pengumuman ini, saya harap Makcik Kiah, Pak Salleh, Encik Lee, Puan Rani, Encik Douglas dan semua rakyat Malaysia dapat menarik sedikit nafas lega sementara kerajaan dan pihak industri berusaha untuk memulihkan semula ekonomi negara kita,” katanya dalam satu perutusan khas hari ini.
Selain itu, Muhyiddin turut memaklumkan bank-bank telah memberi komitmen untuk membantu semua peminjam sama ada individu mahu pun perusahaan kecil dan sederhana, peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang terjejas akibat Covid-19.
Antara yang ditawarkan adalah pembayaran faedah sahaja untuk satu tempoh yang ditetapkan; memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan jumlah ansuran bulanan atau memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil.
Bagi pinjaman sewa beli pula, Muhyiddin berkata, pihak bank akan menawarkan pilihan penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli. Contohnya, memanjangkan tempoh bayaran balik pada kadar ansuran bulanan yang lebih rendah.
“Peminjam-peminjam yang layak boleh membuat permohonan kepada bank masing-masing mulai 7 Ogos ini,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada tiga juga peminjam individu dan PKS.- MalaysiaGazette