KUALA LUMPUR- Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ismail Bakar dilantik sebagai Pengerusi Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) berkuatkuasa 1 Ogos ini.
Bank tersebut dalam satu kenyataannya hari ini berkata, pelantikan Ismail adalah bagi menggantikan Datuk Zamani Abdul Ghani yang telah bersara pada 1 Mac lalu setelah berkhidmat selama sembilan tahun.
Ismail yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan serta Doktor Falsafah dari University of Hull, United Kingdom itu pernah dilantik sebagai Penasihat Kanan kepada Kumpulan Bank Dunia, Washington dari 2008 sehingga 2010.
Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam pernah memegang beberapa portfolio penting termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pengangkutan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pengetahuan dan pengalaman luas yang dimiliki Ismail dalam pelbagai portfolio boleh digunakan untuk membawa Bank Islam ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pelantikan ini tepat pada masanya kerana Bank sedang melakar perjalanan masa hadapannya untuk menjadikan Bank Islam sebagai bank pilihan utama dalam negara,” katanya. – MalaysiaGazette