KUALA LUMPUR – Pemilihan calon bagi jawatan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak seharusnya dijadikan polemik dengan memasukkan sentimen kenegerian.
Ia bagi mengelak terjejasnya keberkesanan untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dalam kalangan rakyat di negara ini, kata Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa.
Menurutnya, dalam soal pendidikan baik di peringkat rendah, menengah atau universiti, sentimen kenegerian harus diketepikan.
Menurutnya, universiti awam (UA) dan mana-mana pusat pendidikan harus menjadi sebuah institusi yang dapat memacu pemikiran rakyat ke arah pemikiran sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya.
“Sekiranya sentimen kenegerian mempengaruhi kepimpinan sesebuah universiti, maka usaha-usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang geografi dan budaya sudah pasti tidak dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Zambri mengulas mengenai kekhuatiran kerajaan negeri Sabah yang diwakili ketua menterinya, Datuk Seri Musa Aman berhubung isu bukan anak Sabah bakal mengambil alih jawatan Naib Canselor UMS.
Dalam pada itu Zambri berkata, soal calon berkenaan adalah dari negeri Sabah atau bukan, ia harus dilihat dari perspektif kelangsungan UMS sendiri untuk jangka panjang sama ada individu berkenaan benar-benar memenuhi kriteria yang telah digariskan sebagai seorang ketua eksekutif universiti.
Justeru kata beliau, kerajaan negeri Sabah perlu bersikap terbuka sekiranya ada calon bukan berasal dari tersebut yang benar-benar berkaliber dipilih menerajui UMS. – MalaysiaGazette