KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya membiarkan media membuat tafsiran sendiri dan enggan memberikan pandangannya ketika ditanya sama ada keputusan keluar dari Perikatan Nasional (PN) ada kaitan dengan keputusan kes Datuk Seri Najib Razak.
Beliau hanya senyum apabila mendengar soalan wartawan seolah-olah sudah maklum mengenainya.
“Itu terpulang kepada pengamal media untuk melakukan inteprestasi anda,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri kes perbicaraan rasuah beliau berhubung Yayasan Akal Budi di sini hari ini.
Selasa lepas, Najib yang merupakan bekas Perdana Menteri telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi kerana didapati bersalah
kesemua tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM 42 juta milik SRC.
Hari ini Ahmad Zahid pula membuat pengumuman UMNO tidak menyertai PN sebaliknya akan terus perkasakan kerjasama dengan Muafakat Nasional (MN).
Menurutnya, keputusan itu bukan sesuatu yang di buat secara melulu sebaliknya mengambil pertimbangan semasak-masaknya sebagai langkah awal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 kelak. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: