KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin membidas Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baharu sahaja menyertai Pakatan Harapan (PH) tetapi sudah berani mempersoalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri gabungan itu.
Shamsul Iskandar mengingatkan parti baharu dalam PH itu tidak perlu membangkitkan perkara tersebut kerana ia merupakan konsensus gabungan pembangkang itu sejak ditubuhkan.
“Sejak dari awal pembentukan PH, konsensusnya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai satu-satunya calon perdana menteri seandainya berlaku perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Justeru soal siapa calon perdana menteri bukanlah isu dan tidak harus dibangkitkan lagi. Keutamaan dan fokus kita sewajarnya adalah mengembleng kekuatan untuk memenangi PRU14,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semasa Kongres Nasional PKR lalu, berlaku kontroversi apabila pimpinan PPBM yang terdiri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak memegang plakad yang mencadangkan Anwar sebagai calon perdana menteri.
Insiden itu menimbulkan tanda-tanya dan ramai membuat spekulasi pimpinan PPBM tidak bersetuju dengan PKR yang mahu meletak Anwar sebagai calon mereka.
Jelasnya lagi, mengenai perbincangan isu pelantikan perdana menteri interim pada kongres Keadilan yang lalu merupakan perkara normal dalam politik.
“Berkaitan isu perdana menteri interim yang dibahaskan dalam kongres Keadilan baru-baru ini, ia merupakan sesuatu yang normal dalam politik bila mana wujud pemimpin sementara yang berperanan dalam tempoh peralihan,” katanya.
Susulan pertikaian calon perdana menteri, Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah
menegaskan soal siapa perlu dilantik menjadi perdana menteri sama ada penasihat PKR, Anwar atau sebaliknya, PH perlu memastikan parti itu berjaya memenangi kerusi majoriti dalam Dewan Rakyat terlebih dahulu, sebelum membincangkannya.
Kata beliau, PH perlu menumpukan PRU-14 terlebih dahulu sebelum berbincang siapa dalam kalangan pemimpin mereka layak menjadi perdana menteri. – MalaysiaGazette