KUALA LUMPUR – “Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan ianya akan sentiasa kekal seperti itu.
“Apa sahaja tuntutan atau dakwaan oleh Filipina sebenarnya langsung tidak relevan dan sememangnya tidak perlu di layan langsung,”
Begitulah luahan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berhubung dakwaan Filipina melalui Setiausaha Luarnya, Teodoro Locsin Jr bhawa Sabah bukan milik Malaysia.
Kata Anifah, kenyataan ‘jahil’ seperti itu sebenarnya terang lagi bersuluh bagaimana Filipina buta dalam memahami sejarah dan undang-undang antarabangsa.
Malah Anifah juga memberi amaran kenyataan serta dakwaan tidak berasas seperti ini akan menjejaskan hubungan dua hala yang terbina selama ini.
“Dari awal saya sudah katakan kita tidak mengiktiraf mana-mana pihak terhadap Sabah.
“Ingat ya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sendiri telah mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan persekutuan pada 16 September 1963.
“Jadinya, kenyataan dikeluarkan oleh Locsin ini membuktikan ianya sangat jahil. Dakwaan dan tuntutan Filipina ini kita tidak akan terima malah langsung tidak relevan juga,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Pada Rabu lepas, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Manila menulis di Twitter yang sumbangan 500 kit kebersihan diri oleh agensi bantuan AS untuk kegunaan rakyat Filipina dihantar pulang dari Sabah, Malaysia.
Locsin kemudian membalasnya dengan menulis di Twitter: ‘Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia, jika anda mahu berurusan dengan Filipina.’
Locsin turut mengesahkan semula tuntutan Manila ke atas Sabah dalam satu taklimat bajet Jawatankuasa Peruntukan Filipina September tahun lalu dengan mendakwa tuntutan lima dekad itu dimulakan di bawah pentadbiran mendiang Presiden Diosdado Macapagal.
Ia kemudian diteruskan Macapagal serta bapanya, Teodoro Locsin Sr.
Wisma Putra diarahkan untuk memanggil Duta Besar Filipina ke Malaysia bagi menjelaskan ciapan Setiausaha Hal Ehwal Luarnya yang menyentuh mengenai kedaulatan Malaysia. –MalaysiaGazette