Home Ekonomi KLCI dijangka bergerak seiring prestasi pasaran tunai

KLCI dijangka bergerak seiring prestasi pasaran tunai

Bursa Malaysia
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI di Bursa Malaysia Derivatives dijangka bergerak seiring dengan prestasi pasaran tunai pendasar pada minggu depan.

Ketua Penyelidikan Malacca Securities Sdn Bhd Loui Low berkata, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka berlegar antara paras 1,550 dan 1,617 mata pada minggu depan dengan kaunter sarung tangan terus menjadi tumpuan utama apabila beberapa syarikat sarung tangan akan mengumumkan keputusan suku kedua mereka bermula Ogos.

Low juga menjangkakan aktiviti membeli saham murah berlaku pada minggu depan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa sentimen pasaran mungkin terjejas susulan perkembangan terbaharu politik tempatan, kerana sebarang keadaan tidak menentu akan memberi kesan kepada prestasi indeks utama.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis berkata parti itu membuat keputusan tidak menyertai Perikatan Nasional (PN), sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen BN pada Rabu menyatakan hasrat membawa partinya menyertai MN.

Sementara itu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran dewan undangan negeri Sabah bagi membuka laluan kepada pilihan raya negeri yang akan diadakan dalam masa 60 hari.

Bagi asas Jumaat ke Khamis, bulan semerta Julai 2020 turun 16.5 mata kepada 1,590.5, Ogos 2020 dan September 2020 susut 3.5 mata setiap satu masing-masing kepada 1,598.5 dan 1,590.0, manakala Disember 2020 menokok 2.5 mata kepada 1,581.5.

Jumlah dagangan melonjak kepada 106,658 lot berbanding 51,574 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 53,310 kontrak daripada 41,376 kontrak sebelumnya.

Bagi asas Jumaat ke Khamis, FBM KLCI naik 14.14 mata untuk ditutup kepada 1603.75 daripada 1,589.61 pada minggu sebelumnya.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup pada Jumaat sempena cuti umum sambutan Hari Raya Aidiladha. Dagangan disambung pada Isnin. – MalaysiaGazette