Home Dunia Kes Covid-19 Afrika Selatan rekod setengah juta

Kes Covid-19 Afrika Selatan rekod setengah juta

Seorang guru melakukan saringan suhu kepada pelajar-pelajar yang tiba ke sekolah di Cape Town, Afrika Selatan. Foto Reuters

JOHANNESBURG – Kes Covid-19 di Afrika Selatan telah mencecah setengah juta, kata Kementerian Kesihatannya sementara kes jangkitan virus itu di Afrika secara keseluruhan menghampiri satu juta.

Negara perindustrian di Afrika itu mencatatkan 10,107 kes jangkitan baharu Covid-19, penyakit pernafasan yang disebabkan oleh novel coronavirus, menjadikan jumlah keseluruhan menjadi 503, 290, kata kementerian itu.

Setakat ini, lebih dari 3 juta orang telah diuji virus itu di Afrika Selatan, yang mengesahkan kes pertama lima bulan yang lalu dengan 8,153 kematian telah direkodkan.

Afrika mencatatkan sebanyak 934,558 kes, 19,752 kematian dan 585,567 pemulihan.

Afrika Selatan telah melaksanakan sekatan perjalanan di seluruh negara pada akhir bulan Mac untuk mengekang penyebaran virus, tetapi kini telah melonggarkan banyak sekatan untuk meningkatkan aktiviti ekonomi – seperti negara-negara lain di seluruh benua.

“Sekatan itu berjaya menangani penyebaran virus lebih dari dua bulan, mencegah peningkatan jangkitan secara tiba-tiba dan tidak terkawal pada akhir Mac,” kata Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa dalam satu kenyataan.

Sejak kelonggaran sekatan pergerakan diberikan, kes jangkitan melonjak dua bulan lalu.

Walau bagaimanapun, peningkatan harian jangkitan nampaknya stabil, terutama di wilayah Cape Barat, Gauteng dan Cape Timur yang paling teruk dilanda, kata Ramaphosa.

Pakar kecemasan Pertububuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Mike Ryan minggu lalu memberi amaran pengalaman Afrika Selatan adalah pendahulu apa yang mungkin berlaku di seluruh benua.

Kesukaran dalam pelaksanaan penjarakan fizikal di kawasan bandar yang miskin dan padat di Afrika, juga menjadi penyebab penyebaran virus.

Kes Covid-19 di Afrika Selatan adalah kelima tertinggi di dunia, telah membanjiri sistem penjagaan kesihatan yang sememangnya rapuh. – MalaysiaGazette