KUALA LUMPUR – Datuk Seri Salahuddin Ayub menyindir parti lamanya, Pas berhubung pendirian parti itu sama ada mahu bersama Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN).
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu mempersoalkan kewajaran parti itu untuk duduk bersama dengan PN pada ketika ia turut berada dalam MN.
“Cuma saya nak tanyalah, Pas ini sebenarnya hati mereka dengan siapa, dengan PN (Perikatan Nasional) ke dengan MN (Muafakat Nasional)?
“Hari ini cakap macam dengan PN kerana sudah sama-sama duduk dalam Kabinet tapi dalam pada masa sama ada isyarat mereka mahu dengan MN, jadi tunjukkanlah dimana mereka nak pergi sebenarnya,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Salahuddin ditanya mengenai pandangannya berhubung kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan MN boleh menang pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) jika hanya ada pertandingan dua penjuru.
Sementara itu, Salahuddin turut menggesa pengundi muda untuk menjadikan kemelut politik yang berlaku di Sabah baru-baru ini sebagai pengajaran untuk mereka memilih wakil rakyat yang boleh memberi kebaikan kepada masa depan mereka.
Katanya, adalah tidak wajar untuk anak muda memberikan mandat kepada mereka yang hanya mengambil kesempatan di atas peluang yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya.
“Disebabkan anak-anak muda boleh muda boleh mula mengundi dalam PRU akan datang, saya rasa elaklah untuk memilih mereka yang ada kecenderungan menjadikan profesion politik itu sebagai pelacur politik.
“Sebab dah terlalu murah harga orang politik ini boleh dibeli begitu sahaja. Tengah malam boleh menukar sokongan.
“Saya harap ia boleh diambil serius oleh kumpulan anak muda yang begitu dinamik hari ini untuk melihat masa depan negara ini ada pada tokoh-tokoh yang mempunyai pencapaian rekod yang baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Salahuddin….apa yg keluar dari mulut anda kebanyakannya suka menimbulkan persepsi.
Malang sekali anda.
Dan PATUT anda berada dlm parti amanah.
Bagi saya….anak muda Malaysia dah perit dan serik dng apa yg anda lakukan selama ini.
Tunggu sahaja PRU15 nanti.
Kita tengok sama2…anak muda sokong atau sebaliknya pada anda dan parti anda.