PUTRAJAYA – Semua pemilik premis perniagaan dan majikan wajib menggunakan aplikasi MySejahtera untuk memudahkan kerajaan mengesan kontak rapat pada masa akan datang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi memastikan penggunaan aplikasi berkenaan digunakan kerajaan mewartakannya dalam Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Dalam kes Individu Dalam Siasatan (PUI) kluster Sivagangga di Kubang Pasu, Kedah, kedai nasi kandar itu didapati tidak menggunakan aplikasi MySejahtera seperti disarankan kerajaan.
“Yang keduanya tiada rekod, kedai-kedai sepatutnya ada rekod manual pelanggan yang keluar masuk kedai beserta dengan nama, nombor telefon dan suhu badan.
“Oleh kerana tiada rekod-rekod berkenaan oleh premis itu termasuk aplikasi-aplikasi lain berkaitan Covid-19, ia memberi cabaran kepada KKM untuk melakukan pengesanan kontak rapat kluster Sivangagga kes posotif Covid-19,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan malaysia (KKM) hari ini.
Menurut beliau, pihaknya sudah meminta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pemilik premis itu.
Ditanya mengenai kekerapan nyahkuman dan sanitasi awam setiap premis sepanjang Covid-19, beliau menyeru supaya proses nyahcemar berkenaan boleh dijalankan bukan hanya enam bulan sekali tetapi setiap hari di premis masing-masing. – MalaysiaGazette