Home Sukan Luqman tidak sabar berlatih dengan Wan Kuzri

Luqman tidak sabar berlatih dengan Wan Kuzri

Luqman Hakim (kiri). Foto Football Association of Malaysia.

KUALA LUMPUR – Gandingan ‘meletup’ antara penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin dan pemain tengah dari Amerika Syarikat, Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal tampak begitu dinanti-nantikan penyokong bola sepak tempatan.

Penyokong jelas tidak sabar menantikan persembahan dua pemain itu yang dijangka bergandingan pada Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Uzbekistan, Oktober ini.

Malah, peluang itu disambut dengan reaksi positif Luqman selepas pemain itu bakal ‘berkongsi padang’ dengan pemain dari Akademi Bolasepak St Loius itu pada sesi latihan pusat skuad B-19 fasa kedua yang bermula semalam.

“Saya teruja apabila dipanggil kali ini kerana boleh mendapatkan persefahaman lebih cepat dengan rakan sepasukan yang lain.

“Mengenai (Wan Ahmad Kuzri), saya cuma melihat videonya beraksi sebelum ini, tetapi saya rasa dia seorang pemain yang bagus.

“Saya tidak sabar memulakan latihan bersamanya dan saya yakin dia mampu membantu pasukan B-19,” katanya memetik laporan BH Online selepas ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan PKNS, semalam.

Luqman Hakim. Foto Football Association of Malaysia.

Dalam masa sama, Luqman menegaskan reputasi yang dimilikinya ketika ini selepas bakal berkelana ke Eropah bukan satu jaminan untuknya mendapat tempat secara automatik dalam skuad akhir ke Uzbekistan.

“Sebagai pemain, saya tidak pernah mengambil mudah mengenai perkara itu dan saya sentiasa perlu memberikan 100 peratus komitmen ketika sesi latihan dan perlawanan.

“Kehadiran beberapa muka baharu di sini memang bagus untuk saya kerana ia membantu saya dan pemain lain sentiasa kekal bersaing dan menjadi lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette