Home Nasional Akta melibatkan muflis akan dipinda – Takiyuddin

Akta melibatkan muflis akan dipinda – Takiyuddin

Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 bagi membantu rakyat yang muflis khususnya dalam kalangan anak muda yang menunjukkan trend membimbangkan.

Perkara itu diberitahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, ketika ini kementeriannya sedang meneliti pindaan yang perlu dilakukan terhadap Seksyen 5 (1) di bawah Akta itu termasuk mengadakan keterlibatan dengan pihak berkepentingan.

“Ya, memang saya sebut kerajaan prihatin dalam pasca Covid-19 ini dan kerajaan akan membentangkan dalam persidangan ini satu pindaan khusus kepada Seksyen 5 Akta Insolvensi yang melibatkan had bankrap baharu.

“Saya tak boleh umumkan lagi kerana ianya akan dibentang dalam persidangan ini juga,” menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh (PH).

Hannah sebelum itu menanyakan sama ada kerajaan akan menaikkan had bankrap yang kini pada RM50,000 berikutan wabak Covid-19 memandangkan ramai kehilangan kerja atau tiada upaya untuk membayar balik hutang.

Sementara itu ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni (GPS) berhubung jika kerajaan mengkaji sepenuhnya undang-undang tersebut bagi memudahkan rakyat yang diisytihar muflis, Takiyuddin berkata, di bawah Akta A1534, satu peruntukan yang baharu di bawah Sekseyen 33 C iaitu Pelepasan Automatik diperkenalkan bagi melayakkan mereka yang bankrap dilepaskan secara automatik.

Ujarnya, perkara itu juga turut mengambil kira amalan terbaik antarabangsa bagi melayakkan mereka yang bankrap dilepaskan di bawah peruntukan akta tersebut namun mereka perlu pohon dahulu dan hendaklah mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette