Home Nasional Conteng mural: Polis rujuk rakaman CCTV kepada pakar

Conteng mural: Polis rujuk rakaman CCTV kepada pakar

Polis mengakui kualiti rendah rakaman video kamera litar terrtutup (CCTV) di lokasi kejadian menconteng mural potret pemimpin negara menyukarkan proses pengecaman wajah suspek.

SEPANG – Polis mengakui kualiti rendah rakaman video kamera litar terrtutup (CCTV) di lokasi kejadian menconteng mural potret pemimpin negara menyukarkan proses pengecaman wajah suspek.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, rakaman CCTV itu telah dirujuk kepada khidmat pakar profesional bagi mengenalpasti identiti dan wajah suspek dalam kejadian di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 , Shah Alam 20 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kualiti video CCTV dalam siasatan kes terbabit menyukarkan pihaknya untuk mengenalpasti suspek.

“Kes ini (conteng mural) masih dalam siasatan. Ia makan masa yang agak lama untuk lengkapkan kertas siasatan kerana tidak banyak CCTV dipasang di lokasi kejadian itu malah keadaan persekitaran semasa insiden itu juga sangat gelap.

“Bila kita nak zoom kamera (rakaman CCTV), gambar itu sudah pecah dan tidak jelas untuk cam wajah suspek.

“Jadi kita akan hantar kepada pihak profesional untuk mendapatkan imej yang lebih jelas untuk tentukan (identiti suspek),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Polis Daerah KLIA dan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Selangor, di IPD KLIA yang turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Arjunadi Mohamed di sini hari ini.

Pada 20 Julai lepas, satu rakaman CCTV tular di media sosial yang memaparkan dua kelibat wanita dipercayai dalang merosakkan mural berkenaan.

Susulan perbuatan itu, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam memadam semua mural dengan mengecat semula dinding itu.

Malah perbuatan itu dikecam rakyat rentetan mural pemimpin negara berkenaan yang turut diconteng dan dihina adalah wajah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada minggu lalu,Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata kes berkenaan akan diselesaikan dalam masa terdekat.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.