PUTRAJAYA – Berita gembira untuk para peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang kini menghitung hari penangguhan untuk meneruskan semula pembayaran hutang pendidikan itu.
Ini kerana kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan lagi tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam di negara ini untuk tempoh tiga bulan lagi.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad berkata, dengan keputusan terbaharu itu, peminjam tidak perlu membayar balik pinjaman mereka selama tiga bulan lagi bermula 1 Oktober ini hingga 31 Disember ini.
Katanya, keputusan itu menyusul rentetan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar pada 29 Julai lalu.
“Ini adalah antara langkah yang diambil Kerajaan di bawah pelan Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN, bertujuan untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.
“Penangguhan bayaran balik PTPTN ini melibatkan anggaran jumlah bayaran balik sebanyak RM375 juta.
“Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Noraini, semua peminjam PTPTN akan diberikan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini.
Pun begitu, sekiranya terdapat peminjam yang ingin meneruskan bayaran balik pinjaman PTPTN mereka seperti sedia kala mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang telah disediakan.
“Kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi oleh sebilangan peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran hidup disebabkan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.
“Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN.
“Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN melalui talian di 03 – 2193 3000 yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau melayari portal rasmi www.ptptn.gov.my,” tegas beliau.-MalaysiaGazette